Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Ketua Polis M’sia kecewa kes salah laku pegawai, anggotanya

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Ketua Polis M’sia kecewa kes salah laku pegawai, anggotanya

Jan 16, 2024 | 02:06 PM



PETALING JAYA: Beberapa siri kes salah laku membabitkan anggota dan pegawai polis yang semakin kerap dilaporkan mutakhir ini telah mencalar maruah dan mencemarkan imej pasukan polis.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang berang dengan insiden memalukan melibatkan anggota dan pegawainya, berkata walaupun jumlah mereka yang terbabit adalah kecil iaitu kira-kira 2 peratus daripada jumlah keanggotaan 137,000 orang, ia tetap dianggap serius.

“Hanya kira-kira 2 peratus daripada keseluruhan 137,000 anggota yang melakukan salah laku pada 2023. Ini bermakna kira-kira 2,740 anggota bermasalah dan tidak boleh dipercayai,” katanya seperti yang dilaporkan The Star pada 16 Januari.


Justeru, Tan Sri Razarudin mengeluarkan amaran buat pegawai dan anggotanya supaya menjalankan tugas dengan terhormat supaya pasukan keselamatan itu mendapat kepercayaan dan keyakinan orang ramai.

“Saya menggesa anggota khususnya petugas barisan hadapan supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti untuk menaikkan imej pasukan polis. Berkhidmat kepada orang ramai dengan penuh integriti, ini sahaja yang saya minta,” tegasnya.

Tan Sri Razarudin berkata selain tindakan tatatertib termasuk pemotongan gaji, penurunan pangkat, penggantungan kerja dan pemecatan atas pelbagai kesalahan, beberapa pegawai polis turut didakwa di mahkamah kerana melakukan jenayah berat.

“Peratusan kecil polis inilah yang mencalar maruah dan mencemarkan imej pasukan polis. Orang yang melakukan kesalahan ini akan menerima hukuman dan tiada anggota polis yang akan terlepas daripada tindakan tegas jika melakukan kesalahan,” ujarnya.

Sejak akhir 2023, beberapa kes direkodkan membabitkan pegawai dan anggota polis yang melanggar undang-undang sehingga mencemar imej pasukan keselamatan itu.

Dalam kes terbaru pada 14 Januari lalu, seorang ketua balai polis dari Johor telah dirakam menyerang dan mengasari seorang lelaki di lokasi awam.

Pada 10 Januari pula, dua anggota polis di Ampang Jaya ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar warga asing dan merompak rakan lelakinya di Taman Bukit Ampang di Ampang Jaya, Kuala Lumpur.

Kes tiga anggota polis yang menjadi sebahagian daripada serbuan operasi besar-besaran terhadap pendatang tanpa izin di Jalan Silang, Kuala Lumpur, pada 22 Disember 2023 pula membawa kepada penahanan mereka kerana disyaki mencuri RM85,000 ($24,260) dari sebuah stor.

Paling tragis, pada 19 Disember, pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44 tahun, berdepan tuduhan membunuh di Ipoh, Perak, kerana didakwa merempuh seorang pelajar berusia 17 tahun sehingga menyebabkan kematiannya.

Tan Sri Razarudin berkata setiap hari pegawai dan anggotanya diberi peringatan supaya menjalankan tugas dengan amanah dan menjauhi perbuatan yang melanggar undang-undang, terutama petugas barisan hadapan.

“Mereka sentiasa diperiksa oleh penyelia dan diingatkan tentang tanggungjawab dan peraturan. Namun, di sebalik semua nilai dan nasihat yang diterapkan, terdapat anggota yang terjebak dalam salah laku.

“Saya hanya boleh mengatakan bahawa ia hanya bergantung kepada watak dan prinsip seseorang. Jika seseorang itu berniat jahat, tidak ada akhlak, tidak takut kepada Tuhan dan undang-undang, dia akan melakukan perbuatan itu,” katanya dengan nada tegas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >