Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor kasari orang awam dipindah jabatan sementara siasatan dijalankan

Jan 15, 2024 | 1:59 PM
KASARI ORANG AWAM: Tangkap layar video yang tular di media sosial baru-baru ini, yang menunjukkan seorang lelaki, yang dipercayai adalah ketua polis balai,  melakukan kekerasan terhadap seorang individu  lelaki di tempat awam.
KASARI ORANG AWAM: Tangkap layar video yang tular di media sosial baru-baru ini, yang menunjukkan seorang lelaki, yang dipercayai adalah ketua polis balai, melakukan kekerasan terhadap seorang individu lelaki di tempat awam. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

JOHOR BAHRU: Gara-gara didakwa melakukan kekasaran ke atas orang awam di tempat terbuka, seorang ketua balai polis di Johor dipindahkan ke jabatan lain.

Perbuatan pegawai polis itu berlaku baru-baru ini dan videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata tindakan itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dalaman.

“Ketua balai polis berkenaan dipindahkan ke sebuah jabatan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat sementara siasatan dijalankan. Jabatan itu juga tidak memerlukan individu itu berurusan dengan awam,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia pada 14 Januari.

Beliau berkata tindakan sewajarnya terhadap pegawai polis itu akan diambil selepas siasatan dalaman selesai.

Pada 12 Januari, Datuk Kamarul Zaman berkata polis sedang menyiasat dakwaan mengenai seorang ketua balai polis melakukan kekerasan terhadap orang awam yang dipaparkan sebuah video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Video berdurasi 37 saat itu memaparkan seorang lelaki, yang dikatakan adalah ketua balai polis, menengking seorang lelaki dan menampar berulang kali serta menarik rambutnya di tempat awam yang tidak dinyatakan.

Video itu, yang dikesan pada 12 Januari, turut memetik nama pegawai polis terbabit serta jawatannya.

Dalam video itu, lelaki berkenaan dilihat mengasari seorang lelaki yang sedang duduk di sebuah tempat yang dipercayai adalah sebuah restoran.

Suspek dilihat menampar lelaki itu sembilan kali sambil menarik rambutnya.

Beliau juga didengar berkata, antara lain, “kau banyak kali buat?”, “bulan puasa ke bulan apa ni?”, “dah tak puasa, mencuri lagi?”, “bodoh”, “bangsat kau”, “telefon bapa kau, telefon bapa kau sekarang, cepat telefon bapa kau”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg