IPOH: “Esok (23 September) kamu nak ambil peperiksaan, tak kan nak tidur lokap malam ini?.”
Demikian soal Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris kepada 22 pelajar Tingkatan Lima yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di lokasi panas yang sering dijadikan ‘litar lumba’ oleh penunggang motosikal, di Taman Klebang Ria, Ipoh, Perak.
Kesemua remaja lelaki berusia 17 tahun itu sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula September ini, termasuk Ujian Tilawah al-Quran dan Hafazan dan Hadis (UTQH) yang dijadualkan pada 23 September.
Mereka adalah sebahagian 69 pelajar daripada keseluruhan 136 individu yang ditahan polis dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Klebang Ria, bermula 6 petang 22 September hingga awal pagi 23 September.
Operasi itu dijalankan sepasukan 79 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.
Datuk Azizi berkata kesemua yang ditahan itu terdiri daripada 130 lelaki dan enam wanita berusia antara 12 dan 45 tahun.
“Semasa pemeriksaan, seorang anggota polis berpangkat koperal dilanggar oleh motosikal yang sedang diperiksa menyebabkan kecederaan ringan.
“Kawasan ini adalah lokasi panas yang mana jalan ini antara tempat digunakan oleh mereka yang merempit, lumba haram dan ramai penontonnya,” katanya, lapor Harian Metro.
Datuk Azizi berkata hasil operasi dijalankan, polis menahan 101 motosikal dan 20 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 168 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan paling serius dikesan adalah menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
“Selain itu, 11 notis kompaun dikeluarkan oleh JAS kerana gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan,” katanya.
Datuk Azizi berkata pelajar berkenaan yang telah dibebaskan akan dirujuk kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) masing-masing yang merupakan kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita akan maklumkan kepada pihak sekolah dan ibu bapa pelajar terlibat supaya menasihati mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti samseng jalanan yang tidak berfaedah.
“Seperti malam ini, di luar (pagar balai polis), ramai ibu bapa yang menunggu kerana ada antara mereka yang ditahan akan menduduki peperiksaan penting,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg