Usahawan berjaya dan pempengaruh popular Malaysia, Encik Khairul Aming, melebarkan sayap perniagaannya dengan pembukaan Rembayung – restoran dengan menu masakan kampung bernilai RM4 juta ($1.26 juta) di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dalam perkongsian menerusi video di media sosialnya, Encik Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 33 tahun, berkongsi bahawa pembukaan restoran itu merupakan pelaburan terbesar yang pernah dilakukannya sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam dunia digital dan perniagaan makanan dalam talian.
“Selepas 10 tahun dalam dunia perniagaan dalam talian, akhirnya KA (Khairul Aming) bersedia untuk masuk dalam dunia offline untuk permulaan fasa 10 tahun seterusnya.
“Inilah hasil kerja keras selama setahun ini yang dirahsiakan dan siapa sangka dulu kita mula dengan masak seorang diri di atas lantai dan 10 tahun kemudian kita boleh bina sebuah restoran di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Encik Khairul Aming, Rembayung yang berkonsepkan rumah kaca di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi dan hanya sembilan minit dari pusat beli-belah KLCC, diharap bukan saja menjadi destinasi pilihan penduduk tempatan, tetapi juga tarikan pelancong dari serata dunia untuk merasai juadah kampung asli Malaysia.
Kata Encik Khairul Aming, pembukaan Rembayung menandakan fasa baru dalam perjalanan perniagaannya, daripada pencipta kandungan digital kepada usahawan yang mempunyai restoran dan memperkenalkan pengalaman menu kampung yang autentik kepada pengunjung dari seluruh dunia.
“Selepas setahun simpan rahsia akhirnya hari ini KA boleh umum yang restoran pertama KA telah pun siap dibina. Proses pembinaan restoran ini bermula dari awal 2025 lagi dan bermula dari sifar.
“Berbekalkan rakan perniagaan yang sudah lama dalam industri restoran, kami bertiga berganding bahu untuk jadikan idea (restoran) ini satu realiti,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat, itu.
Jelas Encik Khairul Aming yang popular dengan jenama makanan Sambal Nyet dan Dendeng Nyet Berapi, restoran yang mengangkat elemen kampung di tengah bandaraya itu mampu menampung sehingga 250 pengunjung pada satu-satu masa.
“Kita buat satu restoran yang besar, yang boleh tampung 250 orang pada satu-satu masa untuk tampung crowd (kumpulan besar pelanggan) yang bukan saja di Malaysia, tetapi juga dari serata dunia.
“Dapur pula kita belanja lebih setengah juta ringgit untuk keselesaan cef memasak. Untuk konsep restoran yang mengangkat elemen kampung di tengah-tengah kota raya, banyak gunakan elemen kayu dan dedaunan hijau.
“Diharap ini dapat menjanjikan pengalaman lain daripada yang lain, bukan setakat daripada sudut visual, tetapi juga mengembalikan memori pelanggan kepada suasana di kampung. KA harap sangat Rembayung akan jadi tarikan pelancong dari satu dunia dan cuba juadah kampung kebanggaan kita,” katanya.
Encik Khairul Aming berkata seramai 50 anak tempatan diambil bekerja tanpa mengetahui daripada awal Rembayung adalah restoran milik Encik Khairul Aming.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg