Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pempengaruh Khairul Aming antara penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025

Sep 5, 2025 | 3:36 PM
Khairul Amin, Anugerah Maulidur Rasul
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (lima dari kanan) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (enam dari kanan) bersama penerima Anugerah Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Kuala Lumpur pada 5 September. - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Pempengaruh dan usahawan terkenal Malaysia, Encik Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming dan pelakon mualaf, Cik Ardini Angeline Tan, menjadi antara penerima anugerah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Kuala Lumpur, pada 5 September.

Encik Khairul Aming menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya, manakala Cik Angeline atau nama Islamnya, Ardini pula kategori Saudara Baru (Mualaf) Cemerlang.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga pengasas kumpulan perbankan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, turut diumumkan penerima anugerah tertinggi, iaitu Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul pada sambutan sama.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Penerima Anugerah Tokoh Perdana menerima wang tunai RM50,000 ($15,225), trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima Anugerah Maulidur Rasul menerima wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penghargaan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (kanan) menyampaikan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga pengasas RHB Bank, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Kuala Lumpur pada 5 September.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (kanan) menyampaikan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga pengasas RHB Bank, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Kuala Lumpur pada 5 September. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Datuk Anwar dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Maulidur Rasul, mengajak umat Islam menghayati dan memahami dengan mendalam intipati ajaran dan warisan Rasulullah saw dalam pembinaan bangsa dan negara yang berjaya berlandaskan ajaran Islam.

Beliau turut memberi contoh kepimpinan Rasulullah saw di Madinah, yang meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu dan akhlak serta nilai kemanusiaan berasaskan nilai-nilai keagamaan.

“Berakar kepada sunah kenabian dan berpohon kepada rahmah Allah swt, ayuh kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh dan hikmah ar-Rasul.

“Semoga dengan penghayatan dan kefahaman mendalam mengenai intipati ajaran dan warisan Baginda akan terus memandu dan menggerakkan kita semua untuk bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat,” katanya.

Datuk Anwar turut mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah Maulidur Rasul kali ini, dan berharap kecintaan atas kisah serta teladan Rasulullah saw menjadi inspirasi kesedaran, sekali gus penyuntik semangat kepada umat yang dahagakan kejayaan di dunia dan akhirat.

Dalam perkembangan sama, Berita Harian Malaysia melaporkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, sebak ketika membaca doa dalam ucapannya pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perak, pada malam 4 September.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. - Foto BERNAMA

Dalam ucapannya, Sultan Nazrin memohon Allah swt menyatukan hati dan memperbaiki hubungan antara umat Islam di Malaysia supaya selamat daripada kegelapan jahiliah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg