KUALA LUMPUR: Apabila salah seorang pempengaruh makanan yang terkanal lagi mudah didekati ramai di Malaysia, Encik Khairul Aming, mengumumkan rancangan membuka sebuah restoran Melayu baru berkonsep mewah di Kuala Lumpur dengan harga yang tidak bersifat “mesra untuk semua”, respons dan maklum balas yang diterimanya di media sosial begitu spontan dan pantas.
“Saya tidak boleh menawarkan harga murah yang ‘mesra untuk semua’, sejujurnya,” katanya mengenai restoran bernilai RM4 juta ($1.3 juta), yang terletak di kawasan bersejarah Kampung Baru di ibu negara, hanya beberapa langkah dari Menara Kembar Petronas yang ikonik.
Dalam satu hantaran Instagram pada hari yang sama, pempengaruh berusia 33 tahun itu turut menunjukkan kepada netizen lebih RM500,000 telah dibelanjakan untuk peralatan dapur sahaja, menurut laporan akhbar The Straits Times (ST).
Dengan segera, media sosial dibanjiri kritikan – kebanyakannya daripada netizen tanpa nama dan ‘troll’ (penghasut maya) Internet – yang mempersoalkan harga tinggi yang ditetapkan serta menuduh Encik Khairul sudah terputus hubungan dengan rakyat Malaysia biasa.
Beliau mempunyai 6.3 juta pengikut di TikTok, 4.4 juta pengikut di Instagram, dan mempunyai beberapa halaman peminat di Facebook – dengan satu akaun mempunyai hampir setengah juta anggota.
“Boikot!!!” tulis pengguna TikTok NobodyCare, sambil membandingkan restoran yang diusahakan Encik Khairul dengan restoran perusahaan sosial Kesum, yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli, yang menjual hidangan pada harga di bawah RM5.
“Mereka yang mahu makan di sini (di restoran baru itu) boleh mula menyimpan duit, boleh masuk hanya pada 2028,” tulis seorang lagi pengulas di TikTok, EyLa Famina.
Menurut sesetengah pemerhati, reaksi netizen itu kurang berkisar tentang sama ada makanan Melayu layak dikenakan harga setaraf santapan mewah.
Sebaliknya, ia lebih kepada pertembungan antara imej Encik Khairul yang dibina dengan teliti sebagai juara makanan Melayu harian yang sederhana, dengan keputusannya untuk melangkah keluar daripada zon selesa ke dalam ruang makan eksklusif yang hanya menerima tempahan.
Imej tersebut kini teruji dan terancam.
Jenama yang dibina atas keterjangkauan
Encik Khairul Amin Kamarulzaman merupakan seorang lulusan kejuruteraan mekanikal, yang membina pengikutnya selama lebih sedekad dengan berkongsi video masakan ringkas dan mudah di platform dalam talian, sebelum mencapai kejayaan komersial menerusi produk Sambal Nyet Berapi pada 2021.
Ungkapan santai “Hey, what’s up guys?” yang sering diulang pada pembukaan video masakannya disenangi ramai sebab tidak kedengaran formal dan mesra bagi persona beliau yang dekat di hati orang ramai.
Beliau membina pengikut dalam talian menerusi video masakan ringkas dan mudah di media sosial, seperti siri “30 Hari 30 Resipi” sepanjang Ramadan.
Resipi seperti ikan goreng dengan cili padi, daging belengas (daging goreng pedas) dan telur dadar dalam kuah santan berkrim memikat peminat dengan kesederhanaan serta rasa yang dekat dengan kehidupan seharian orang ramai serta citarasa mereka.
Sambal Nyet Berapi miliknya, yang dijual pada harga sekitar RM20 bagi sebotol 180 gram, menjadi cukup sensasi dan tular.
Sambal pedas itu, yang menjadi keperluan di banyak isi rumah di Malaysia, dilihat secara meluas sebagai mampu dimiliki, selari dengan imej “orang biasa” yang dibawanya, serta praktikal untuk dijadikan teman ketika melancong.
Produk tersebut, bersama Dendeng Nyet Berapi dan Rendang Nyet Berapi, melonjakkan perniagaannya kepada jualan tahunan sebanyak RM42 juta pada 2024, meningkat 110 peratus berbanding 2023.
Rembayung
Dinamakan Rembayung, restoran fizikal pertamanya mampu menampung sehingga 250 pengunjung.
Tiada pelanggan tanpa tempahan awal dibenarkan.
Rembayung ialah perkataan klasik Melayu yang menggambarkan sinaran lembut langit pada waktu senja.
Walaupun Encik Khairul belum mendedahkan menu yang bakal ditawarkan, jangkaan adalah tinggi memandangkan pengikutnya yang ramai dalam kalangan pencinta makanan.
“Selepas 10 tahun berada dalam dunia masakan dalam talian, akhirnya saya bersedia untuk melangkah ke dunia luar talian,” kata Encik Khairul dalam satu video Instagram pada 9 Disember.
Video itu memaparkan kerja-kerja yang sedang dijalankan di restoran dua tingkat separa rumah kaca itu, yang dibina di atas sebidang tanah seluas 8,000 kaki persegi.
Namun, keterbukaan Encik Khairul mengenai harga mewah restoran barunya — khususnya kenyataannya bahawa ia tidak “mesra orang ramai” — telah mengundang kecaman di alam maya.
“Hanya untuk membina suasana itu sahaja sudah menelan belanja berjuta-juta ringgit (untuk pembinaan).
“Mengendalikan restoran ini juga melibatkan kos yang tinggi, terdapat 12 unit penghawa dingin, dan (gaji untuk) 50 kakitangan tempatan, selain kos elektrik dan air,” katanya di TikTok pada awal Disember.
Membalas reaksi dalam talian terhadap Rembayung, Encik Khairul menulis di akaun Threads miliknya pada 11 Disember:
“Saya hargai semua maklum balas, tetapi saya hanya memohon sedikit ruang untuk mencuba mengendalikan perniagaan (restoran) ini terlebih dahulu.
“Ini adalah usaha saya untuk mengembangkan industri makanan dan minuman (F&B) tempatan secara luar talian... Tolong beri saya peluang untuk mencuba.”
Beliau tidak memberikan sebarang respons terhadap permintaan ST untuk mendapatkan komen.
Lebih daripada sekadar perdebatan harga
Apabila perbincangan dalam talian dengan pantas beralih kepada isu lama tentang sama ada makanan Melayu wajar berharga mahal, para pemerhati berkata rangka perbincangan sebegitu sebenarnya terlepas pandang perkara utama yang harus menjadi tumpuan.
Isunya bukan benar-benar tentang masakan Melayu yang dinaik taraf ke tahap mewah, kata mereka, tetapi tentang jangkaan orang ramai terhadap Encik Khairul sendiri.
Rakyat Malaysia gemar makan, dan pengunjung tidak mempunyai masalah dengan penambahan baru dalam dunia kulinari, sama ada restoran mewah mahupun sajian kasual.
Selama bertahun-tahun lamanya, pempengaruh itu dilihat sebagai seseorang yang merendah hati dan mudah didekati, kata Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.
“Apabila harga tinggi dan untuk makan perlu buat tempahan awal, ada sesetengah orang berasa kurang selesa.
“Ia bercanggah dengan imej yang mereka miliki tentang dirinya,” kata Dr Mazlan.
Pengarah Penyelidikan Kanan di badan pemikir Iman Research, Encik Aziff Azuddin turut bersetuju, sambil menyatakan Encik Khairul adalah “antara usahawan Melayu kontemporari yang paling berjaya, disenangi dan diterima baik oleh masyarakat Melayu”.
“Jadi idea beliau membuka restoran pada tahap dan julat harga seperti (selebriti) Cef Wan mungkin bertentangan dengan persepsi orang ramai terhadap imejnya yang mudah diakses dan dekat dengan orang biasa,” ujar Encik Aziff.
Cef Wan, yang nama sebenarnya Redzuawan Ismail, adalah seorang cef selebriti dan personaliti media Malaysia yang pernah mengasaskan perniagaan restoran berjaya di negara ini sebelum restoran itu dijual.
Mengapa harga makanan Melayu sering dipersoalkan?
Tindak balas terhadap cita-cita kulinari Encik Khairul telah mencetuskan perbincangan lebih luas tentang harga dan persepsi.
Masakan Melayu di Malaysia sejak sekian lama dikaitkan dengan santapan harian yang dimakan secara santai - gerai kudapan yang diuruskan oleh makcik-makcik, gerai nasi campur di kejiranan, serta hidangan autentik di majlis kenduri dan perhimpunan masyarakat.
Sepinggan nasi dengan lauk campur di gerai biasanya berharga sekitar RM10 hingga RM20.
Sebaliknya, pengunjung jarang terkejut dengan hidangan berharga RM100 di restoran Jepun atau Italy.
Ini mewujudkan pemikiran “sauh” yang mengaitkan makanan Melayu dengan jangkaan harga rendah, kata para pemerhati.
Hidangan Melayu terkenal seperti rendang atau nasi lemak begitu sebati dalam kehidupan seharian – dimasak di rumah, dijual di gerai, dan dihidangkan di majlis perkahwinan – sehingga usaha dan tenaga kerja di sebalik penyediaannya sering dipandang remeh.
Pengarah restoran Melayu yang sudah lama bertapak, Bijan, Cik Lissa Yeoh, memberitahu ST hubungan ini sering menjadi cabaran kepada cef dan pengusaha restoran Melayu.
“Banyak hidangan Melayu mengambil masa berjam-jam lamanya untuk disiapkan, malah ada yang berhari-hari lamanya untuk disediakan... tetapi usaha itu sering tidak kelihatan di mata pelanggan,” jelasnya.
“Jika sebuah restoran Barat mengenakan harga RM100 untuk sesuatu hidangan, orang ramai cenderung menerimanya sebagai normal.
“Tetapi jika restoran Melayu berbuat demikian, reaksi yang sering timbul ialah: ‘Kenapa mahal sangat? Saya boleh dapatkan ini dengan RM20 di gerai,’” tambah beliau.
Pasaran yang berkembang untuk masakan Melayu bertaraf tinggi
Walaupun makanan Melayu tradisional kekal mampu milik di tempat santai, terdapat sebilangan restoran Melayu mewah yang semakin meningkat dan diiktiraf di Malaysia, terutamanya di Kuala Lumpur.
Bijan, perintis dalam bidang ini yang dibuka pada 2003, masih kukuh dan terus menyajikan hidangan Melayu autentik dalam suasana yang eksklusif.
Pemain baru seperti Hidang, Cili Kampung dan Lado, telah menunjukkan memang terdapat permintaan untuk masakan Melayu bertaraf tinggi.
Salah satu cawangan Cili Kampung di Suria KLCC, di bawah Menara Kembar Kuala Lumpur, sering penuh walaupun pada hari bekerja.
Pada awalnya, kata Cik Yeoh, makanan Melayu bukanlah sebahagian daripada pilihan “restoran bagus”, dan pengunjung sering memilih restoran Barat atau Jepun.
“Kami mahu menunjukkan makanan Melayu boleh disediakan dengan betul, dengan teliti, dalam suasana yang indah,” katanya.
Beliau melihat kewujudan lebih banyak restoran Melayu mewah sebagai satu bentuk pengiktirafan, sambil menambah:
“Sejujurnya, kami melihatnya sebagai pengesahan. Bagi tempoh masa yang lama, ia terasa agak sunyi melakukan semua ini.
“Melihat lebih ramai orang mempercayai makanan Melayu dan bersedia melabur untuk mendapatkannya atau memajukannya sangat menggalakkan.”
Seorang Profesor Madya pemasaran di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Lau Kong Cheen, memberitahu ST situasinya berbeza di Singapura, di mana “tiada gerai tepi jalan”.
“Di Singapura, makanan Melayu dijual di pusat penjaja atau medan selera bersama masakan lain.
“Ia tidak mewujudkan jangkaan yang sama bahawa ia mesti murah,” kata Dr Lau.
Bagi Encik Khairul, cabarannya kini kurang dari segi kulinari, tetapi lebih kepada komunikasi, apabila netizen cuba menerima hakikat sosok yang dikenali dan mudah didekati itu bukan sekadar berhadapan dengan masyarakat umum.
Kejayaan Rembayung mungkin bergantung kurang kepada harga, tetapi lebih kepada sama ada orang biasa dapat menyatukan imej pempengaruh sederhana yang mereka ikuti di telefon pintar mereka dengan imej pengusaha restoran yang mempunyai impian sendiri.
Di tengah-tengah respons dalam talian, terdapat juga sokongan memberangsangkan terhadap usaha baru Encik Khairul, dengan sesetengah netizen berkata mereka tidak sabar mengunjungi restoran barunya apabila dibuka kelak.
Jurucakap Swich Cafe, sebuah kedai kek khusus yang terkenal dan berpangkalan di Selangor, yang mengulas tentang Threads terbaru Encik Khairul, berkata:
“Anda ialah khazanah negara. Anda tidak perlu memberi penjelasan kepada sesiapa pun.”
Seorang pengguna Threads, learnwithceleste.va, menulis:
“Belum pernah rasa sambal awak... Tetapi, saya kagum dengan awak dan cara awak menguruskan perniagaan.
“Apabila awak mengumumkan Rembayung, saya hanya rasa bangga... Apabila membaca kritikan negatif, ia memang membingungkan.”
Cik Yeoh dari Bijan memberitahu ST:
“Dengan jumlah pengikut Encik Khairul dan kehadiran media beliau, Rembayung pasti akan berjaya.
“Pada awalnya mungkin ada masalah kecil, itu perkara biasa. Perkara yang perlu diperhatikan apabila perniagaannya berkembang adalah memastikan mutu makanan kekal konsisten.
“Saya rasa beliau telah membuktikan dirinya sebagai usahawan dinamik yang sangat mudah didekati. Kami mendoakan kejayaan beliau.”
Seorang lagi pengguna Threads, n.andryana10, menggesa pengusaha restoran muda itu untuk pergi lebih jauh, sambil berkata:
“Datang ke SG (Singapura) untuk buka restoran awak... Kami cuma mahukan makanan bermutu dengan suasana yang baik.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg