Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid ingatkan mereka yang ‘keluar sekejap’ boleh kekal di luar untuk selama-lamanya

Feb 3, 2025 | 1:56 PM
Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika sesi temu bual podcast Buletin TV3, pada 2 Februari.
Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika sesi temu bual podcast Buletin TV3, pada 2 Februari. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi amaran secara sindiran kepada individu yang ingin ‘keluar sekejap’ daripada parti itu boleh keluar untuk selama-lamanya.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu berkata tumpuan utamanya kini adalah untuk memperkukuh perpaduan dalam parti.

Beliau berkata Umno kini menjadi semakin kecil disebabkan perpecahan dalaman dan disebabkan itu hanya memenangi 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

“Matlamat saya adalah untuk menyatukan semula (ahli parti), mereka yang sudah keluar boleh terus keluar. Mereka yang ‘keluar sekejap’ boleh kekal di luar untuk selama-lamanya.

“Mana-mana yang ada kini harus mempunyai sikap setia dan taat kepada parti mengatasi kepentingan peribadi,” katanya menerusi podcast Buletin TV3, pada 2 Februari.

Keluar Sekejap ialah nama podcast dikendalikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan.

Podcast itu antara lain membincangkan pelbagai isu semasa termasuk politik dan sosial. Sehingga kini, siri berkenaan mempunyai 141 episod dengan 358,000 pengikut.

Encik Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, dipecat daripada Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti pada PRU15. Encik Shahril pula dikenakan penggantungan selama enam tahun daripada parti pada Ogos 2022.

Pada Disember 2024 lalu, Datuk Ahmad Zahid berkata Encik Khairy dialu-alukan kembali kepada Umno jika beliau dapat membuktikan komitmennya kepada parti.

Bagaimanapun, Encik Khairy menyatakan bahawa beliau hanya akan menyertai semula parti itu sekiranya Umno komited menjadi parti lebih baik.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen (AP) Bagan Datuk (Perak) berkata lebih baik parti Umno menjalani bahtera dengan bilangan ahli yang kecil daripada mempunyai individu yang disifatkan seperti ‘duri dalam daging’.

“Apa yang penting adalah penyatuan dan perpaduan, jika ada gunting dalam lipatan atau kaduk naik junjung, saya fikir orang seperti ini tidak diperlukan (dalam parti).

“Biarlah sedikit pun ahli Umno, tapi mereka taat dan setia kepada parti, kita tidak mahu menjadi seperti buih di lautan.

“Saya bukannya seorang pemimpin diktator atau kuku besi, saya boleh berbincang. Kini Umno akan susun strategi untuk kita kembali dominan semula,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid menafikan dirinya tidak boleh dikritik, sebaliknya tindakan dikenakan kepada mereka yang mengkritik parti.

“Saya tidak mengetepikan sesiapa pun, tapi kalau kritik parti bayarlah harga sepatutnya. (Tindakan) itu diberikan bukan pada (mereka yang kritik) saya.

“Individu yang mengkritik saya secara peribadi, saya tidak pernah lakukan sebarang tindakan, cuma (tindakan dikenakan) kepada mereka yang menyentuh parti,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg