Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KJ tiada perancangan kembali ke dunia politik hingga akhir 2025

May 30, 2025 | 12:59 PM
Mantan Menteri Kesihatan Malaysia dan mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin.
Mantan Menteri Kesihatan Malaysia dan mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin. - NSTP

KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, memberi bayangan tidak akan kembali dalam dunia politik atau menyertai mana-mana parti dalam masa terdekat.

Beliau yang juga mantan Ketua Pemuda Umno dan lebih dikenali sebagai KJ, berkata ketika ini fokusnya tertumpu kepada beberapa perniagaan dan projek yang masih berjalan.

“Saya cuma boleh cakap, ketika ini saya ada banyak projek yang belum selesai dan perlu diuruskan.

“Saya juga agak gembira dengan apa yang dilakukan ketika ini, jadi sekurang-kurangnya sehingga hujung 2025, tak terfikir untuk kembali ke dunia politik,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel program The Healthcare Forum 2.0: Counting The Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?” di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Universiti Malaya (UM), pada 29 Mei.

Terdahulu timbul desas desus mengaitkan mantan Ahli Parlimen (AP) Rembau (Negeri Sembilan) itu akan kembali ke dunia politik.

Beberapa portal media Malaysia melaporkan, Encik Khairy dijangka kembali menyertai Umno selepas lebih dua tahun dipecat daripada parti itu.

Encik Khairy dipecat pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Encik Khairy turut ditanya sama ada sedang mempertimbangkan sebarang tawaran mana-mana parti politik.

“Fokus saya ketika ini kepada beberapa perniagaan, selepas hujung tahun mungkin baru boleh dibincangkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab ketika ditanya kesahihan ada menerima tawaran daripada mana-mana parti politik.

Encik Khairy sebelum ini turut mengulas mengenai peletakan jawatan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, selepas tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau menasihatkan agar Datuk Rafizi tidak keluar parti kerana AP Pandan (Kuala Lumpur) itu mempunyai kebolehan dan daya ketahanan diri yang tinggi serta mampu menyumbang idea dan tenaga walaupun tidak memegang jawatan penting dalam parti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg