Pengembara dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan sebaliknya berpeluang menikmati tambang lebih rendah apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun 30 peratus sempena pembukaan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) ke JB Sentral bermula 12 Disember ini.
Dalam satu kenyataan, KTMB memaklumkan promosi diskaun untuk ETS sektor selatan itu meliputi perjalanan KL Sentral - JB Sentral - KL Sentral, dan sah dari 12 Disember hingga 11 Januari 2026.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Encik Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata penumpang boleh menebus tawaran tersebut dengan menggunakan kod promosi ‘JBBEST’ semasa membuat pembelian tiket.
Beliau berkata dengan pembukaan perkhidmatan tren ETS ke JB Sentral itu, ia bukan hanya memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta ekonomi Johor dengan menarik lebih rami pelancong, termasuk dari Singapura.
“Tambahan pula, pelaksanaan ini hadir tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun di mana rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor, manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar Johor melalui sambungan tren ETS.
“Kemudahan ini sekali gus meningkatkan pergerakan domestik dan merancakkan kegiatan pelancongan serta perniagaan di kededua arah,” katanya dalam kenyataan pada 8 Disember.
Menurut Encik Ahmad Nizam, warga Johor kini boleh menikmati kemudahan perjalanan terus ke KL Sentral, sebelum bersambung ke destinasi lain di sebelah Utara dan Pantai Timur.
“Perkhidmatan ETS ke JB Sentral ini akan bermula dengan pelaksanaan empat perkhidmatan sedia ada iaitu laluan KL Sentral - Kluang - KL Sentral dan dilanjutkan ke JB Sentral,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 5,000 kod promosi disediakan, tertakluk kepada terma dan syarat, dengan kadar tambang bagi laluan KL Sentral ke JB Sentral bermula dari RM82 sehala ($25.87).
Tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, mesin kios atau di laman rasmi KTMB bermula 9 Disember dan tiket dijual bagi tempoh enam bulan perjalanan sehingga Mei 2026.
Berdasarkan semakan jadual perjalanan, masa perjalanan terawal dari KL Sentral ke JB Sentral bermula pada 7.45 pagi dengan masa ketibaan 12.05 tengah hari, manakala dari JB Sentral ke KL Sentral bermula 8.40 pagi dan masa ketibaan 1 petang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg