Meskipun hanya berusia dua tahun, Alwee Faeyza Muhammad Ikram, dari Malaysia telah hilang kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh sekitar 10 bulan.
Ibunya, Allahyarhamha Azhana Fisal telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Mei 2024, akibat penyakit barah pankreatik, semasa Alwee berusia 11 bulan sahaja.
Arwah bapanya pula, Encik Muhammad Ikram Remli, telah kembali kepada Rahmatullah pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mac lalu.
Alwee, yang pada masa itu menginap di rumah datuk dan nenek di sebelah ibunya di Shah Alam, bersama mak ciknya, Cik Azhani Fisal, 28 tahun, adik kepada arwah ibu Alwee, sedang menantikan ketibaan ayahnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.
“Kami semua sudah siap sedondon berbaju merah jambu kerana ia adalah warna kegemaran arwah kakak saya.
“Mesej terakhir saya terima daripada arwah abang ipar masa itu adalah pada sekitar 9 pagi. Sambil menunggu, call dia lagi tapi dah tak dapat. Jadi kita tunggu je dulu,” cerita Cik Azhani kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Tanpa tidak disangka, ibu Encik Ikram menelefon Cik Azhani dan memberitahu: “Abang Long dah takda.”
Keluarganya kemudian mendapat keputusan postmortem yang memaklumkan bahawa arwah Encik Ikram telah menghidap serangan jantung.
Walaupun ajal di tangan Tuhan, Cik Azhani mendapati sukar untuk menerima kenyataan bahawa beliau juga kehilangan dua orang yang tersayang iaitu kakak dan abang iparnya.
Memandangkan hubungan Cik Azhani dengan anak saudaranya itu memang rapat, beliau menjaga Alwee sepenuh masa.
“Rancangan asal adalah untuk menjaga Alwee bersama Papanya. Jadi saya memang sudah meletak jawatan sebagai pendidik untuk menjaga Alwee. Tetapi itulah. Tidak sangka bahawa Papa Alwee pun sudah pergi dan saya tahu ini menjadi tanggungjawab menjaga anak buah ini,” jelas Cik Azhani yang tidak ingin membebankan ataupun memenatkan ibu bapanya yang sudah lanjut usia.
Menggalas peranan sebagai ibu terpilih bagi Alwee bukan mudah bagi Cik Azhani, malah cabarannya tetap berat.
Memandangkan ramai dalam kalangan rakannya yang belum berumah tangga atau mempunyai anak, beliau rasa seperti tidak mempunyai tempat mengadu yang lengkap.
Tetapi, mengambil kekuatan daripada Alwee dan juga kenangan indah bersama kakak dan abang iparnya, beliau perlahan-lahan cuba menyesuaikan diri.
Dalam sekitar tiga minggu, Cik Azhani berusaha mencari keseimbangan hidup demi anak saudara yang amat disayanginya.
Selain itu, pada cuti sekolah atau sekali sebulan pada hujung minggu, Alwee akan bermalam bersama keluarga arwah bapanya, dan pada petang hujung minggu, bapa saudaranya yang lain pula membawanya bermain di taman permainan.
Mengongsi perjalanannya juga di TikTok, Cik Azhani menyunting dan memuat naikkan video seperti diari dalam talian bagi mencatat detik-detik dan peristiwa penting yang dialami Alwee.
“Dulu, kakak saya memang suka melihat apabila saya edit video Alwee atau kadang dia akan suruh saya editkan. Sekarang apabila saya edit video, saya bayangkan arwah kakak di sebelah, dan ia menjadi cara saya bercerita dan berkongsi dengannya,” ujar Cik Azhani.
Perkongsian TikToknya menarik banyak perhatian dan ramai juga yang meninggalkan komen motivasi dan memberangsangkan bagi Cik Azhani, yang dipanggil Bonda oleh Alwee.
Seorang pengguna ‘ItsMannon’ berkata: Semoga Alwee sentiasa jadi anak yang baik dan kuat semangat Semoga Bonda dan keluarga juga kuat menempuhi dugaan ini.
Satu lagi pengguna pula ‘Lyssa’ komen: “Saya doakan Bonda dilimpahkan rezeki, dompet selalu penuh dan kesabaran yangg tinggi. Sebagai seorang ibu, saya tabik Bonda. Semoga Bonda terus kuat dalam membesarkan si kacak.”
Meluahkan harapannya untuk Alwee, Cik Azhani ingin anak saudaranya itu membesar keyakinan bahawa dirinya layak untuk dilahirkan, dan bahawa dia adalah anugerah kasih antara ibu dan ayahnya.
“Saya selalu pesan, Alwee lahir kerana cinta Mama dan Papa, dan cinta itu masih hidup dalam dirimu,” katanya.
Cik Azhani turut menulis pesanan dalam sebuah buku khas untuk Alwee, sekiranya sesuatu berlaku kepadanya suatu hari nanti. Dalam buku itu, dia menekankan bahawa kekuatan dan kasih sayang sudah sedia wujud dalam diri si kecil itu. Hanya tinggal untuk dicari dan digilap.
“Jawapan tentang hidup tak datang dari saya atau orang dewasa. Ia datang dari dalam diri, dan dari kitab yang sudah pun dimiliki, seperti al-Quran.”
Beliau juga mahu Alwee belajar berdikari dan bertanggungjawab, kerana ganjaran sebenar bukan dari orang lain, tetapi daripada usaha dan kepuasan sendiri.
“Saya cuma mahu dia tahu, dia anak yang terpilih dan sangat disayangi,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg