Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Selagi dapur berasap, Semakau belum lenyap’

Dari gelanggang silat berlumpur di bawah cahaya bulan, ke masakan laut yang diwarisi turun-temurun, warisan orang pulau terus hidup meskipun pulau-pulau itu kini tinggal kenangan. Berita Minggu (BM) meninjau kisah mereka yang pernah mendiami Semakau, Sudong dan Semulun, meneroka bagaimana seni, budaya dan identiti orang pulau terus dipelihara merentasi generasi.
Jun 29, 2025 | 5:30 AM
Singapura, orang pulau, masakan
Masakan orang Pulau Semakau berlainan dan mempunyai versinya sendiri. Gulai nanas Semakau tidak menggunakan santan, manakala asam pedas Semakau tidak menggunakan daun kesum. Dalam gambar dari kiri adalah Cik Rohani Rani, Cik Roziah Amar Rani dan Cik Noraini Rani, keturunan orang Pulau Semakau. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pulau Semakau kini hanya tinggal kenangan.

Sebuah pulau yang pernah dihuni keluarga nelayan, kini menjadi tapak pelupusan sisa pepejal negara.

Tetapi bagi tiga wanita ini, Semakau bukan sekadar lokasi. Ia adalah nadi identiti, rasa dan warisan mereka sebagai Orang Pulau.

Sebelum penghuni terpaksa dipindahkan ke Singapura pada 1979, penduduk Pulau Semakau tinggal berdepan laut dan ada juga rumah terapung di atas air.

“Dulu bangun tidur, terus ke laut. Kita tengok air pasang ke air surut, baru tahu boleh cari ketam, ikan pari atau sotong.

“Lepas dah tangkap makanan, baru fikir nak masak apa untuk hari tersebut,” cerita Cik Rohani Rani, 70 tahun, kepada Berita Minggu (BM).

Menurutnya, beliau dan adik-beradiknya hanya akan menangkap ikan mengikut keperluan hari tersebut, nasihat dan ajaran bapanya.

Cik Rohani bersama anak bongsunya, Cik Roziah Amat Rani, 43 tahun, dan adiknya, Cik Noraini Rani, 65 tahun, berkongsi warisan dapur Pulau Semakau – masakan laut yang tidak bergantung pada bahan pasaran atau herba harum-haruman.

“Kami tidak gunakan daun limau atau daun kesum dalam masakan. Kami orang laut, kurang pucuk dan tanam-tanaman,” jelas Cik Rohani ibu tiga anak dan nenek kepada lapan cucu.

“Tapi lauk kami tetap sedap sebab bahan utama semuanya segar dari laut.”

Menurut pasangan adik-beradik itu, resipi seperti sotong hitam Pulau Semakau, contohnya, langsung tiada serai ataupun tumisan daun.

“Kami goreng sotong dengan rempah, lebihkan bawang putih dan lada hitam.

“Untuk asam pedas, kami tak gunakan daun kesum. Lebihkan bawang putih dan lada hitam juga.

“Kalau orang tengok, macam pelik. Tak wangi macam masakan biasa. Tapi inilah lauk kami. Ini cara Semakau,” jelas Cik Rohani sambil tertawa.

Gulai nanas ikan Semakau yang tidak menggunakan santan
Gulai nanas ikan Semakau yang tidak menggunakan santan - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Antara masakan klasik dan melambangkan kelainan cita rasa orang Semakau adalah seperti asam rebus, gulai nanas dan cempurun.

“Gulai nanas Semakau tidak menggunakan santan, jadi ia lain daripada gulai nanas biasa.

“Ia boleh dikatakan macam asam pedas juga, tapi tiada tumisan dan tidak pedas sangat,” kata Cik Noraini, ibu lima anak dan nenek kepada lapan cucu itu.

Manakala hidangan cempurun – hidangan istimewa ala sirip yu atau shark’s fin – hanya dimasak apabila beraneka bahan laut, termasuk isi gong gong, sotong, ketam dan sayur kangkung didapatkan.

“Perencahnya pula ialah cili kering dan lada hitam. Ia juga ditambah tepung kanji untuk memekatkan kuah untuk mendapakan tekstur seperti hidangan shark’s fin,” kongsi Cik Roziah.

Namun, lauk itu tidak selalu dimasak kerana sukar mendapatkan gong gong kerana ada musimnya.

“Membesar di Pulau Semakau, kami mempunyai cara-cara tersendiri untuk memasak. Tidak sama dengan masakan Melayu yang biasa dimakan orang ramai,” kata Cik Rohani.

Jika tiada bahan, mereka hanya masak dengan garam dan bara api.

“Tepung gandum campur garam dan air pun boleh jadi bubur. Kalau ada ikan, tambah. Kalau tak, makan juga dan bersyukur,” kata Cik Rohani.

Cik Roziah, yang dilahirkan selepas orang Semakau berpindah ke Singapura sekitar 1979, merupakan satu-satunya dalam generasinya yang mendalami warisan memasak masakan Semakau ini.

Satu lagi hidangan yang membawa kenangan manis bagi keluarga itu adalah bubur ikan.

Memandangkan ikan adalah protein yang paling mudah didapati sebagai orang pulau, bubur menjadi antara hidangan yang membawakan kenangan manis bagi keluarga itu.

Cik Rohani Rani (kanan), mengajar masakan orang Semakau semasa bengkel Hari Orang Pulau pada 14 Jun.
Cik Rohani Rani (kanan), mengajar masakan orang Semakau semasa bengkel Hari Orang Pulau pada 14 Jun. - Foto ST

Resipi diturunkan bukan melalui buku – tetapi dari mata, telinga dan hati.

“Dari kecil saya suka tengok nenek, mak dan mak cik masak. Tapi mereka semua cakap: ‘Kau tengok saja. Jangan tanya.’

“Semua agak-agak dan resipinya pula hanya bimbingan seperti lauk ini lebihkan bawang putih atau bahan yang lain. Semua ikut sukatan mengagak sahaja,” kongsinya.

Mengimbas semula kenangan tinggal di pulau, Cik Rohani dan Cik Noraini mengenang ruang luas yang dinikmati di kampung dahulu berbanding flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

“Dulu rumah luas. Tingkap kita tampal guni beras. Kalau jumpa kayu hanyut, kami ambil dan tampal di atap, tutup lubang atau perbaiki keadaan atap.

“Kalau tiba Disember, paling azab. Angin kuat, banyak roboh,” singkap Cik Noraini dengan tawa kecil.

Tetapi perpindahan itu juga merupakan masa yang mencabar bagi keluarga itu.

Selain menyesuaikan diri di tempat baru, mereka juga harus berkawan dan beramah mesra dengan tetangga baru.

“Bila kami pindah, orang anggap kami kasar atau ganas,” kata Cik Noraini perlahan.

“Tapi dengan masa setelah berkenalan, barulah mereka kenal dan faham bahawa kami bukan seperti anggapan mereka.”

Bagi Cik Roziah, mengekalkan warisan itu adalah bentuk penentangan terhadap pelupusan budaya.

“Kesemua empat anak-anak, mereka makan semua lauk ni sejak kecil. Tapi saya tak pasti mereka akan teruskan. Sekarang semua guna Google. Tapi lauk kami, ikut naluri,” kata Cik Roziah.

Pulau Semakau mungkin telah berubah menjadi sesuatu yang tak dikenali oleh generasi asalnya, tetapi masakan keluarga itu kekal sebagai ingatan – bukan hanya terhadap rasa, tetapi terhadap cara hidup yang berkemungkinan akan dilupakan.

“Jika kami tak ajar, semua ini mungkin hilang,” kata Cik Roziah.

“Sekarang pun ramai tak tahu Semakau pernah ada orang tinggal. Tapi selagi dapur kami masih berasap, Semakau belum lenyap.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg