Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khairy: Najib tidak endah nasihat saya agar bertindak terhadap Jho Low

Mantan menteri persoal permohonan maaf, dakwaan mantan PM ditipu berhubung kes 1MDB
Oct 31, 2024 | 4:01 PM
Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tingkah laku Encik Najib Razak tidak konsisten dengan seseorang yang mendakwa ditipu.
Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tingkah laku Encik Najib Razak tidak konsisten dengan seseorang yang mendakwa ditipu. - Foto fail

SHAH ALAM: Mantan menteri kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mendedahkan bahawa beliau telah mencadangkan kepada mantan perdana menteri Najib Tun Razak supaya mengambil tindakan terhadap ahli perniagaan buruan Low Taek Jho berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Encik Khairy berkata tindakan itu boleh mewajarkan Encik Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara dan menghadapi perbicaraan bagi penyelewengan itu, mengaku ditipu oleh Low, sebagaimana dalam permohonan maafnya baru-baru ini, lapor Sinar Harian.

Namun, Encik Najib enggan bertindak dengan alasan bahawa Low, yang biasa dikenali sebagai Jho Low, adalah ahli perniagaan sah dan berjaya.

Encik Khairy berkata sejurus selepas itu, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kemudian Menteri Pembangunan Luar Bandar pada masa itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dipecat daripada Kabinet oleh Encik Najib.

“Arahan kemudiannya diberikan kepada anggota Kabinet untuk mengelak daripada membincangkan 1MDB. Semuanya harus diuruskan semata-mata oleh Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan,” kata Encik Khairy pada satu sesi podcast pada 30 Oktober.

Menurut Encik Khairy, selain Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Shafie, seorang timbalan menteri ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan beberapa anggota Kabinet lain secara konsisten mencabar dan mempersoal Encik Najib berhubung kes 1MDB.

Encik Khairy menyatakan demikian selepas Encik Najib memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas kemelut 1MDB.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohd Nizar Najib, di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Oktober, Encik Najib melahirkan rasa dukacita mendalam mengenai insiden rasuah 1MDB semasa beliau menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Bagaimanapun, Encik Khairy berkata: “Jika kita menerima permohonan maaf Najib secara permukaannya, mendakwa beliau telah ditipu, maka seperti yang ditegaskan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, kita perlu bertanya: Mengapa Najib tidak mengambil tindakan lanjut apabila isu itu diketahui?

“Mengapa memecat timbalan perdana menteri, menteri, peguam negara atau ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia?

“Tingkah laku itu tidak konsisten dengan seseorang yang mendakwa telah ditipu.”

Pada 30 Oktober, Encik Najib, yang berdepan 25 tuduhan kes salah guna kedudukan dan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion ($690 juta), diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya membela diri.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie (pada zahirnya) terhadap Encik Najib. – The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg