Topik diikuti
Pergi ke BHkuKJ: Umno perlu akui kelemahan tadbir urus Tabung Haji M’sia
KUALA LUMPUR: Umno perlu mengakui terdapat kelemahan dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dari 2014 hingga 2017, seperti yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai agensi itu minggu lalu.
Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, berkata beliau memahami kenyataan beberapa pemimpin Umno menyusuli penemuan RCI itu termasuk menafikan wujudnya penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH, terutama ketika berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Bagaimanapun, katanya tindakan itu tidak mencukupi terutama ketika Umno mahu dilihat sebagai parti yang melakukan reformasi.
“Saya tidak harap mereka ambil pandangan saya ketika kempen pilihan raya.
“Mungkin untuk kempen pilihan raya, kita terpaksa cakap tidak ada sakau (mencuri duit), kita beri hibah yang lebih dan kekalkan subsidi haji untuk muassasah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, apa yang saya nak lihat sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) (pada 9 hingga 12 September), saya rasa sudah tiba masanya untuk (Umno) jujur mengenai perkara itu dan katakan ada kegagalan tadbir urus.
“Jika kita ambil pendirian itu, orang akan kata sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit perubahan untuk bawa parti ke arah pemulihan sebab mereka mengaku.
“Kita faham masa (kempen PRN) Negeri Sembilan tidak boleh cakap tapi sekurang-kurangnya ada suara di PAU yang mengatakan kita tidak boleh guna alasan ini untuk sapu perkara ini di bawah karpet.
“Apa yang lemah, gagal dan salah, mestilah kita akui perkara itu,” katanya ketika mengendalikan podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada 4 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Laporan RCI mengenai TH yang dinyahklasifikasikan pada minggu lalu, mendedahkan kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan kritikal pada 2017.
Ia berikutan kerugian dialami institusi menguruskan simpanan dan urusan haji bagi umat Islam Malaysia itu menokok kepada RM10 bilion ($3.13 bilion) sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan pelan pemulihan dengan kadar segera.
Sementara itu, mantan Ketua Penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan, yang turut mengendalikan podcast berkenaan, berkata ini adalah peluang untuk Umno menunjukkan kematangan dengan mengakui kekurangan, terutama ketika gelombang sokongan kembali kepada parti itu.
“Umno tidak boleh mengambil gelombang sedia ada sebagai satu bukti bahawa tidak perlu melakukan reformasi, minta maaf dan perbaiki diri.
“...dan hanya (menyatakan) ia sekadar retorik biasa kerana (menganggap) penyatuan Melayu dan segalanya sudah mencukupi. Ini soal kelestarian momentum politik,” katanya.
