Topik diikuti
Pergi ke BHkuRCI Tabung Haji M’sia: Mantan Pengerusi sedia disiasat lagi
RCI Tabung Haji M’sia: Mantan Pengerusi sedia disiasat lagi
RCI Tabung Haji M’sia: Mantan Pengerusi sedia disiasat lagi
JELEBU (Negeri Sembilan): Mantan Pengerusi Tabung Haji (PH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sedia disiasat buat kali kedua sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian selepas beliau pernah disiasat pada 2018.
Pemimpin Umno itu menegaskan kesediaan itu, meskipun laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian dialami TH, tidak membuktikan wujudnya sebarang tindakan menyeleweng wang pendeposit.
Beliau bagaimanapun turut mempersoalkan motif pengumuman isu RCI berkenaan yang dibuat secara bertubi-tubi dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sedang berlangsung.
Menurut Datuk Abdul Azeez, laporan RCI setebal 204 muka surat itu sebenarnya telah disiapkan sejak penghujung 2022 di bawah kepengerusian mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, namun ia tidak diterbitkan lebih awal oleh kerajaan.
“Saya tidak tahu kenapa dalam tempoh tiga tahun lapan bulan laporan RCI itu tidak dikeluarkan...yang tahu hanya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Dalam RCI itu jelas menyatakan ia boleh diterbitkan kepada umum. Kalau betul saya ‘sakau’ (seleweng), tahun 2018 lagi Tun Dr Mahathir (mantan Perdana Menteri) dah penjarakan saya.
“Saya ditahan 14 malam di lokap (ketika itu), disiasat habis-habisan termasuk audit forensik,” katanya, lapor laman web Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Taman Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan, pada 30 Julai.
Mengulas lanjut, Datuk Abdul Azeez mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Tan Sri Azam Baki pada 2021 telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan tiada salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan sepanjang tempoh beliau menerajui TH.
Malah, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Baling memaklumkan pihak polis juga telah memanggilnya sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik sebelum ini.
“Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
“Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat ‘sakau’ (curi) demi kepentingan politik,” katanya lagi.
Beliau turut memperincikan bahawa selaku pengerusi bukan eksekutif ketika itu, beliau tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sebarang transaksi atau pelaburan secara bersendirian.
Jelasnya setiap kertas kerja perlu melalui panel pelaburan dan bahagian pengurusan risiko terlebih dahulu, sebelum dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
Kelulusan akhir pula tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu tersebut.