Topik diikuti
Pergi ke BHkuRCI Tabung Haji M’sia: SPRM mula siasatan
RCI Tabung Haji M’sia: SPRM mula siasatan
RCI Tabung Haji M’sia: SPRM mula siasatan
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 31 Julai memulakan siasatan menyusuli laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Siasatan dimulakan dengan menggerakkan lapan pegawai penyiasat ke ibu pejabat institusi itu bagi mendapatkan dan meneliti dokumen berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan itu dimulakan menyusuli saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan RCI yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Pasukan penyiasatan sudah memulakan siasatan pagi ini (31 Julai) dengan mengenal pasti dokumentasi berkaitan perkara yang dinyatakan dalam RCI serta perkara yang mempunyai kaitan dengan siasatan kami.
“Pada peringkat ini, kami juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Kami akan menyaring dan mengklasifikasikan senarai mereka sebelum dipanggil mengikut aturan siasatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, pada 31 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu SPRM pada 30 Julai memaklumkan menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil laporan RCI Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan kepada umum.
Menyusuli pendedahan RCI itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Encik Mohd Hafaz Nazar, dilantik mengetuai pasukan khas itu.
Pasukan berkenaan akan meneliti sebarang isu perundangan membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
“SPRM komited untuk memastikan setiap isu dibangkitkan melalui laporan tersebut diteliti dengan sewajarnya dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit,” kata SPRM dalam kenyataan itu.
Sementara itu, TH dalam satu kenyataan pada 30 Julai, menegaskan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula yang dilaksanakan pada 2018 adalah merupakan langkah penting bagi menyelamatkan institusi itu daripada risiko insolvensi.
Menurut TH ia sekali gus memastikan kepentingan lebih sembilan juta pendeposit dalam badan pengurusan haji umat Islam Malaysia itu terus terpelihara.
TH berkata Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH itu berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 bilion iaitu RM10 bilion, melalui Pelan Pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga akhir tahun 2025.
Jelas TH penjualan aset kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH dan membolehkan institusi itu kembali berada di landasan yang mampan.
Katanya, TH kekal komited melindungi kepentingan pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.