SEPANG (Selangor): Beberapa jam selepas seorang wanita berusia 30-an tahun yang disyaki ‘ulat teksi’ ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 1 pagi, 22 September, seorang lagi ‘ulat teksi’ turut diberkas pada hari yang sama.
Pengarah JPJ Selangor, Encik Azrin Borhan, berkata lelaki berusia 50-an tahun ditahan di KLIA Terminal 1 pada 6.30 petang.
“Lelaki berkenaan ditahan dalam operasi penyamaran yang dijalankan JPJ di KLIA Terminal 1.
“Dia cuba memperdayakan sepasang suami isteri warga Pakistan yang mahu ke pusat bandar dengan mengenakan tambang RM110 ($33),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Setakat 2025, katanya, seramai 143 ‘ulat teksi’ sudah ditahan dengan kompaun keseluruhan berjumlah RM419,200.
Encik Azrin berkata pihaknya kini mempergiat usaha membanteras kegiatan ‘ulat teksi’ di kedua-dua terminal.
“Ketika ini, pemantauan 24 jam dilaksanakan di KLIA Terminal 1 dan 2 dengan pasukan penyamaran menjalankan operasi harian.
“Sebaik sahaja ‘ulat teksi’ dikesan mendekati penumpang dan bersetuju mengenai tambang, pasukan operasi akan terus bertindak membuat tangkapan,” katanya sambil menambah, ‘ulat teksi’ sering menyasarkan penumpang tempatan dan pelancong.
Menurutnya, kegiatan terbabit berlaku sepanjang tahun, bukan bermusim.
Namun, apabila mereka sedar ada penguatkuasaan, mereka akan berhenti seketika, katanya.
Pada sidang media, Encik Azrin berkata wanita tempatan yang ditahan itu dipercayai beroperasi bersama satu kumpulan.
Beliau berkata pihaknya kini memburu baki anggota kumpulan berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, pada 22 September turut memberi amaran keras bahawa kementeriannya tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan ‘ulat teksi’ di KLIA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg