Topic followed successfully
Go to BHkuKlinik baru di Mount Austin kurangkan kesesakan Hospital Sultan Ismail di JB
Klinik baru di Mount Austin kurangkan kesesakan Hospital Sultan Ismail di JB
Johor tanggung RM6 juta, rancang pindah dua lagi klinik pada 2026
Klinik baru di Mount Austin kurangkan kesesakan Hospital Sultan Ismail di JB
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengambil langkah proaktif mengurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan apabila memindahkan sebahagian perkhidmatan Klinik Kesihatan Sultan Ismail ke premis baru di Mount Austin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui pembukaan Unit Ibu dan Anak yang mula beroperasi secara rasmi pada Disember 2025.
“Kemudahan ini diwujudkan hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi menangani kesesakan di Klinik Kesihatan Sultan Ismail yang terletak dalam kawasan Hospital Sultan Ismail (HSI) dan menerima antara 1,200 hingga 1,500 pesakit setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 April.
Menurut beliau, pemindahan perkhidmatan ke lokasi baru yang lebih kondusif itu merupakan langkah strategik bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri turut menanggung kos sewaan selama 10 tahun selain kos pengubahsuaian dan perolehan peralatan baru yang dianggarkan berjumlah RM6 juta ($1.9 juta),” katanya.
Encik Ling berkata selain Unit Ibu dan Anak, perkhidmatan pandu lalu bagi pengambilan ubat turut dipindahkan ke premis tersebut bagi memudahkan urusan pesakit.
“Setakat ini, Unit Ibu dan Anak mengendalikan sekitar 130 hingga 200 temu janji setiap hari, manakala perkhidmatan pandu lalu mencatatkan antara 200 hingga 250 temu janji harian,” katanya.
Beliau berkata sepanjang lebih tiga bulan beroperasi, kemudahan tersebut menerima maklum balas amat positif daripada orang ramai.
“Rakyat memberi maklum balas yang baik dan menunjukkan tahap kepuasan tinggi terhadap kemudahan yang disediakan,” katanya.
Encik Ling berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan dengan meningkatkan akses, kecekapan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus diperkukuh bagi memastikan segala cabaran dalam sektor kesihatan dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut mengumumkan rancangan untuk memindahkan perkhidmatan dua lagi klinik kesihatan pada 2026.
“Dua klinik tersebut ialah Klinik Kesihatan Kulai dan Klinik Kesihatan Kampung Melayu Majidee yang masing-masing menerima sekitar 800 hingga 850 pesakit setiap hari,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan di kemudahan sedia ada selain meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan sistem kesihatan lebih cekap dan mampu memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

