Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan melaksanakan tempoh percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor, bermula 22 September 2025 hingga 28 Februari 2026.
KDN dalam satu kenyataan pada 17 Februari, berkata tempoh percubaan aplikasi pelepasan imigresen baru di bawah NIISe itu juga akan diteruskan secara berperingkat di lima Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) utama Malaysia, iaitu di Terminal 1 dan Terminal 2 LTA Kuala Lumpur (KLIA).
Tiga lagi LTA yang akan turut melaksanakan tempoh percubaan NIISe ialah LTA Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, dalam tempoh tersebut.
Menurut KDN, sepanjang tempoh percubaan NIlSe ini, sistem kod respons pantas (QR) dan aplikasi MyBorderPass yang sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan pelepasan imigresen.
“Bagaimanapun, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIlSe bagi tujuan proses kemasukan dan pelepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaannya di sepanjang tempoh percubaan ini.
“Aplikasi MyNIlSe boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
“Perlu diingatkan bahawa dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk proses kemasukan dan pelepasan imigresen mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63,” kata KDN dalam kenyataan itu.
Menurut KDN lagi, sistem NIISe merupakan salah satu inisiatif utama di bawah agenda reformasi Kerajaan Madani dan pelaksanaannya dipercepatkan kepada September 2025 berbanding jadual asal iaitu Mac 2026.
Pada akhir tempoh percubaan, sistem NIISe ini akan menggantikan sistem kod QR sedia ada dan ia adalah inisiatif reformasi kerajaan Malaysia bagi mempertingkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk ke Malaysia.
“KDN kekal komited untuk memperkukuh kawalan sempadan negara demi keselamatan, kelancaran perjalanan dan kemudahan rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini media Malaysia melaporkan, menerusi NIISe yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), semua perkhidmatan Imigresen akan dirangkumkan di bawah satu sistem dan melalui penggunaan AI, dengan ia akan lebih memberi kecekapan dalam perkhidmatan Imigresen terutama di pintu masuk Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg