Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kod QR ganti pasport percepat pelepasan imigresen rakyat M’sia di kompleks kastam Johor

Fasa pertama bagi pengguna bas dan penunggang motosikal sebelum langkah diperluas
May 27, 2024 | 4:49 PM
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof (paling kiri), melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk rakyat Malaysia untuk ke Singapura dalam tinjauan mengejutnya ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Johor Bahru pada 27 Mei.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof (paling kiri), melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk rakyat Malaysia untuk ke Singapura dalam tinjauan mengejutnya ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Johor Bahru pada 27 Mei. - Foto FACEBOOK FADILLAH YUSOF

JOHOR BAHRU: Bermula 1 Jun, rakyat Malaysia boleh menggunakan kod respons pantas (QR) berbanding pasport untuk pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bagi fasa pertama, penggunaan kod QR ini khusus bagi pengguna bas dan penunggang motosikal laluan M-Bike di BSI dan KSAB.

Beliau berkata fasa pertama bagi percubaan kod QR itu akan berlangsung tiga bulan sebelum ia diperluaskan kepada pengguna kenderaan persendirian pada fasa kedua; rakyat Singapura (fasa ketiga) dan selepas itu warga lain.

Kata beliau, pengenalan penggunaan kod QR di BSI dan KSAB itu akan menjadi perubahan besar dalam menangani kesesakan di dua pintu keluar masuk Malaysia-Singapura itu.

“Pelaksanaan kod QR ini akan mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas BSI pada waktu sibuk daripada 120 minit kepada 15 minit, iaitu 83 peratus penjimatan masa.

“Tempoh menunggu bas KSAB pula dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit, iaitu 74 peratus penjimatan masa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, di BSI, pada 27 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Terdahulu, Datuk Fadillah melakukan tinjauan mengejut ke CIQ BSI seawal 4.15 pagi pada 27 Mei untuk melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura, terutama bagi kalangan majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang alik setiap hari.

Pada Mac lalu, Singapura dilapor mengumumkan semua warga asing yang tiba dan keluar dari negara berkenaan dengan menaiki kereta sama ada menerusi pusat pemeriksaan Tuas atau pun Woodlands, boleh menggunakan kod QR berbanding pasport, untuk pelepasan imigresen yang lebih mudah dan pantas.

Dalam pada itu, Datuk Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, berkata pengguna motosikal di BSI dapat mengurangkan waktu menunggu daripada 40 minit kepada 30 minit, 19 peratus penjimatan, dengan pelaksanaan kod QR.

Katanya, tempoh menunggu pengguna motosikal di KSAB pula dapat dikurangkan daripada 45 minit kepada 30 minit dengan penggunaan kod QR.

“Bagi pelaksanaan kod QR 1 Jun ini, pengguna boleh menggunakan sama ada aplikasi MySejahtera atau memuat naik aplikasi MyTrip dan MyDigital ID,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg