Semua warga asing yang tiba di Singapura, tidak kira warganegara mereka, kini boleh menggunakan lorong automatik di Lapangan Terbang Changi bagi pemeriksaan imigresen.
Ciri ini telah dilancarkan pada awal Mei, termasuk membenarkan pelawat kali pertama ke Singapura menggunakan lorong automatik tanpa sebarang pendaftaran awal dalam sistem.
Ia adalah sebahagian daripada konsep pelepasan baru Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), yang diumumkan pada 2019, bagi menyediakan proses pemeriksaan imigresen yang lebih cepat dan selamat.
Sebelum ini, lorong automatik hanya boleh digunakan oleh penduduk Singapura dan pemegang pasport dari 60 bidang kuasa.
Lebih daripada 160 lorong automatik telah dipasang pada 2023, dengan 230 lorong lagi akan disediakan pada 2024.
ICA bercadang memasang kira-kira 800 lorong sedemikian, di semua pusat pemeriksaan Singapura menjelang 2026.
Encik Atul Sethi, 46 tahun, seorang ahli perniagaan dari India yang tiba di Singapura dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat, berkata beliau kagum dengan pintu automatik itu setelah menggunakannya buat pertama kali pada 16 Mei untuk pemeriksaan imigresen dalam masa kurang seminit.
Beliau berkata: “Ia sangat menyenangkan, datang ke Singapura dan menggunakan kemudahan baru di sini.
“Selepas beratur di imigresen Amerika selama sejam atau lebih, alangkah seronoknya pemeriksaan (imigresen) di sini.
“Hampir tidak perlu tenaga kerja. Teknologi ini adalah satu anugerah, dan kami berharap akan datang (ke sini) lagi tidak lama lagi.”
Pelancaran kemudahan itu merupakan satu lagi langkah ke arah pemeriksaan imigresen tanpa pasport dan tanpa sentuhan di semua pusat pemeriksaan, yang ingin diperkenalkan Singapura pada akhir 2024.
Penolong Pesuruhjaya Phua Chiew Hua, timbalan pengarah di bahagian operasi ICA, berkata pada 16 Mei bahawa penduduk Singapura yang tiba dan semua pelancong yang berlepas akan dapat menikmati pelepasan imigresen tanpa sentuhan di Lapangan Terbang Changi dan Seletar, serta Pusat Pelayaran Marina Bay menjelang akhir tahun ini.
Sistem ini akan dapat menyelesaikan pemeriksaan pengembara dengan mengimbas muka dan mata mereka.
Beliau berkata: “Ini bermakna mereka tidak perlu mengemukakan pasport mereka. Inisiatif ini akan membantu mengurangkan masa pemeriksaan imigresen di dewan penumpang sekitar 40 peratus.”
Beliau menambah bahawa para pegawai akan mempunyai masa untuk mengikuti latihan bagi melaksanakan peranan lain, seperti tugas interviu dan pemprofilan pelawat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg