Operasi bersepadu menangkap gajah liar yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sejak awal Julai menunjukkan hasil positif.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata Ops Translokasi Gajah Bersepadu Negeri Johor menandakan kejayaan usaha kerajaan negeri mengurangkan konflik antara manusia dengan gajah di kawasan pertanian serta penempatan penduduk.
Tambahnya, pemindahan gajah liar yang dilaksanakan telah memberi kesan ketara terhadap penurunan kes konflik gajah-manusia di daerah Kluang, Johor.
“Sejak operasi pemindahan dijalankan, jumlah laporan konflik berkurangan sekitar 25 peratus berdasarkan data terkini yang diterima daripada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya, operasi tangkapan kali ini dilaksanakan secara berperingkat oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Johor dengan kerjasama UTG Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK).
Ia dilakukan susulan aduan dan pemantauan terhadap pergerakan tiga gajah liar yang dikesan di kawasan pertanian dan penempatan sejak awal Oktober.
Tangkapan pertama dilakukan pada 14 Oktober di kawasan DK Ternak, Kluang, membabitkan seekor gajah betina dewasa dengan saiz tapak kaki hadapan 39.37 sentimeter.
Dua lagi ekor gajah, seekor betina dan seekor jantan dewasa, ditangkap pada 16 Oktober di kebun kelapa sawit berhampiran Taman Wawasan Kahang, masing-masing dengan saiz tapak kaki 35.56 sentimeter dan 27.94 sentimeter.
“Proses pemindahan ke habitat asal kini sedang disusun atur, dengan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk dan kebajikan gajah terbabit,” jelasnya.
Encik Ling berkata sehingga kini, sebanyak 20 ekor gajah liar telah berjaya dipindahkan oleh kerajaan Johor dengan kerjasama Perhilitan dalam usaha berterusan mengurus konflik hidupan liar secara berhemah dan berasaskan sains pemeliharaan.
“Sasaran awal kita pada mulanya hanyalah 12 ekor, tetapi kita telah berjaya menangkap 17 ekor gajah liar,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan Johor telah menyalurkan dana khas kepada Perhilitan untuk melaksanakan operasi pemindahan antara 10 hingga 12 ekor gajah dari kawasan panas (hotspot) ke habitat lebih sesuai dalam tempoh enam bulan mendatang.
Langkah itu, jelasnya, diambil susulan peningkatan kes konflik manusia-gajah termasuk kejadian tragis yang menyebabkan kematian penduduk, kemalangan jalan raya, pelanggaran kereta api dan insiden gajah diracun.
“Kerajaan Johor komited memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian hidupan liar seiring dengan pembangunan negeri,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg