SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Konflik Timur Tengah: Bekalan ubat, peranti perubatan di M’sia turut terjejas

Konflik Timur Tengah: Bekalan ubat, peranti perubatan di M’sia turut terjejas

M’sia akan wujudkan stok penimbal strategik sebagai langkah mampan jangka sederhana atau panjang
Apr 8, 2026 | 3:06 PM

Konflik Timur Tengah: Bekalan ubat, peranti perubatan di M’sia turut terjejas

Kerajaan Malaysia, Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan mewujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan keterjaminan ubat dan peranti perubatan negara, berikutan krisis tenaga sejagat akibat konflik di Timur Tengah ketika ini.

Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata ia merupakan antara langkah mampan untuk jangka masa sederhana dan panjang, selain beralih daripada penggunaan bahan mentah resin kepada polimer bagi sesetengah produk.

Beliau berkata langkah lain termasuk membangunkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMedSecure serta memperkasa industri ubat dan peranti perubatan tempatan.

“Krisis tenaga sejagat ini bukan hanya menjejas minyak dan logistik, tetapi juga bekalan ubat dan peranti perubatan.

“Gangguan rantaian bekalan sedunia boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah penting seperti bahan aktif farmaseutikal (API), petroleum dan gas etilena oksida.

“Ini sekali gus menaikkan kos pengilangan dan penghantaran,” katanya pada taklimat krisis tenaga sejagat yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen Malaysia, pada 7 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Akmal Nasrullah berkata kerajaan juga akan melaksanakan Laluan Akses Khas sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan genting di Malaysia sentiasa terjamin.

Selain itu, katanya kerajaan akan turut memantau stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan serta menetapkan item tertentu sebagai item kawalan.

Beliau berkata semua perkara berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 7 April.

“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kerajaan akan terus bertindak secara teratur dan menyeluruh untuk memastikan rakyat terus dilindungi, bekalan strategik negara terus terjamin dan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan.

“Fokus kita ialah mengurus kesannya, mengurangkan risikonya dan memastikan rakyat dapat melalui tempoh mencabar ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Malaysia menyifatkan 10 perkara pelan gencatan senjata Amerika Syarikat dan Iran perlu diterjemahkan kepada satu perjanjian damai yang menyeluruh untuk rantau Timur Tengah termasuk Iraq, Lebanon dan Yaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia bersedia memberi sokongan dan melengkapi segala usaha bagi proses keamanan dan kestabilan di rantau itu menerusi pelan gencatan senjata yang telah diumumkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Dalam perkembangan terkini, Encik Trump dilapor mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan ke atas Iran selama dua minggu.

Menurut agensi berita Anadolu Ajansi, Encik Trump dilaporkan bersetuju menghentikan serangan yang dirancang, bergantung kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya, serta-merta, dan selamat, selepas perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, dan Panglima Tentera Darat negara itu, Encik Asim Munir.

Sepuluh perkara dalam pelan gencatan itu, antaranya ialah, jaminan Iran tidak akan diserang lagi; penamatan perang secara kekal, bukan sekadar gencatan senjata; penamatan serangan Israel di Lubnan dan penarikan semua sekatan Amerika ke atas Iran.

Datuk Anwar berkata pelan perjanjian damai membabitkan 10 perkara yang dicadangkan Iran itu merupakan petanda baik bagi pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau terbabit, malah untuk seluruh dunia.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg