Topic followed successfully
Go to BHkuKonflik Timur Tengah: Pakar ekon lihat penamatan subsidi makin realistik, rakyat M’sia perlu sedia
Konflik Timur Tengah: Pakar ekon lihat penamatan subsidi makin realistik, rakyat M’sia perlu sedia
Ramal kerajaan perkenal subsidi bersasar kepada golongan tertentu; warga perlu perkukuh daya tahan ekon isi rumah
Konflik Timur Tengah: Pakar ekon lihat penamatan subsidi makin realistik, rakyat M’sia perlu sedia
Malaysia berdepan risiko perubahan besar dalam dasar subsidi bahan api sekiranya krisis geopolitik di Timur Tengah terus memuncak, dengan pakar ekonomi memberi amaran bahawa subsidi sedia ada mungkin tidak lagi mampan dalam tempoh terdekat.
Warga Malaysia mula menunjukkan kebimbangan apabila kerajaan mengumumkan negara kini beroperasi dalam mod krisis, menyusuli perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, yang setakat ini belum menunjukkan tanda akan reda dalam masa terdekat ini.
Walaupun Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan oleh ketegangan geopolitik sejagat ini, impaknya terhadap ekonomi domestik dilihat semakin membimbangkan, khususnya bagi penduduk sebuah negara yang sekian lama hidup selesa dengan pelbagai subsidi bagi meringankan beban kos sara hidup.
Di Malaysia, peruntukan subsidi bahan api adalah antara yang terbesar ditanggung kerajaan.
Di samping bahan api, beberapa barang makanan seperti minyak masak, tepung gandum dan gas memasak (LPG), turut diberi subsidi oleh kerajaan, selain kawalan harga antaranya ayam, roti, telur dan beras.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, kerajaan menanggung subsidi petrol RON95 dan diesel yang dianggarkan mencecah RM4 bilion ($1.27 bilion) sebulan pada Mac, berikutan peningkatan harga minyak mentah dunia kepada AS$100 setong.
Keadaan itu meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak, berbanding subsidi bagi RON95 dan diesel untuk Januari 2026 hanya sekitar RM700 juta.
Ketika ini, warga Malaysia menikmati harga petrol RON95 serendah RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi RM3.87 seliter, manakala diesel bersubsidi RM2.15 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi RM5.52 seliter.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata situasi semasa yang disifatkan sebagai mod krisis bukan sahaja melibatkan ketegangan politik, malah turut memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dunia, terutama bahan api.
Menurut beliau yang juga Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, kira-kira 70 peratus bekalan petrol dan diesel bertapis Malaysia melalui Selat Hormuz, menjadikan laluan itu kritikal kepada keselamatan tenaga negara.
“Jika laluan ini terganggu, kesannya adalah serta-merta. Kita boleh mengalami kekurangan minyak, walaupun setakat ini Malaysia telah mengatur kemasukan bekalan dengan kerjasama pihak berkaitan,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Iran menyekat selat tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika – Israel ke atas republik itu dan mewujudkan pusat pungutan tol, yang menyebabkan kenaikan harga minyak dunia dan beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand dan Filipina mengalami kekurangan bekalan.
Jelas beliau, walaupun Malaysia setakat ini terkecuali daripada dikenakan tol oleh Iran untuk melalui Selat Hormuz atas dasar hubungan antarabangsa yang baik, risiko lain yang menghalang ketibaan bahan api ke Malaysia tetap wujud.
“Ia termasuklah kemungkinan sekiranya kapal tangki Malaysia diserang Amerika atau Israel. Kita boleh jangkakan kemungkinan ini kerana dua sekutu itu akan melakukan apa saja sebagai ugutan,” katanya.
Namun, jelas Profesor Dr Barjoyai cabaran lebih besar adalah dari segi kemampuan kerajaan untuk terus menampung subsidi bahan api dalam keadaan harga minyak dunia yang melonjak.
SUBSIDI BEBAN KERAJAAN
“Subsidi minyak hari ini tidak lagi lestari dalam jangka panjang.
“Jika dikekalkan, kerajaan mungkin perlu membelanjakan sehingga RM30 bilion setahun hanya untuk petrol RON95, sedangkan keseluruhan peruntukan untuk subsidi termasuk beberapa bantuan lain dalam Belanjawan Malaysia 2026 adalah sekitar RM49 bilion,” katanya.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan terpaksa menamatkan subsidi bahan api seawal sebelum 2027 dan menggantikannya dengan subsidi bersasar kepada golongan tertentu.
Dalam masa sama Profesor Dr Barjoyai berkata kesan krisis tenaga dijangka melimpah ke seluruh sektor ekonomi.
“Selain Selat Hormuz, ada dua lagi laluan perdagangan utama iaitu Terusan Suez dan Selat Bab al-Mandab yang mungkin akan dikenakan sekatan dan boleh meningkatkan kos penghantaran bahan api sehingga lima hingga tujuh kali ganda, sekali gus mendorong kenaikan harga barang.
“Kos kehidupan boleh meningkat sehingga 30 peratus, manakala harga barangan tertentu mungkin naik antara 15 hingga 35 peratus dalam tempoh kurang enam bulan lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Profesor Dr Barjoyai menggesa rakyat supaya bersedia menghadapi kemungkinan perubahan dasar dan tekanan kos hidup, termasuk persediaan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi serta memperkukuh daya tahan ekonomi isi rumah.
“Rakyat tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Kita perlu mula bersedia dari sekarang seperti melaksanakan projek keselamatan makanan keluarga dan antara yang paling asas ialah menjalankan pertanian dan tanaman kecil-kecilan untuk jaminan makanan keluarga,” katanya.
Di media sosial, masyarakat mula berkongsi kebimbangan tentang tekanan kos hidup dan jaminan bekalan makanan, dengan ada yang sudah mula membuat persediaan menyimpan bekalan makanan terutama bahan makanan kering.
Mengulas perkembangan itu, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengembangan Pertanian, Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norsida Man, berkata Malaysia dijangka tidak akan berdepan krisis kekurangan makanan secara mendadak menyusuli ketegangan di Asia Barat ketika ini.
KRISIS HARGA MAKANAN
Namun jelasnya risiko sebenar yang semakin menghampiri adalah lonjakan harga makanan dan gangguan bekalan tertentu.
“Apabila kos logistik meningkat, harga makanan import turut naik walaupun bekalan masih ada. Malaysia sebagai negara pengimport akan merasai kesan ini dalam tempoh dua hingga empat bulan,” katanya kepada BM.
Tegas Profesor Dr Norsida, Malaysia mempunyai tahap sara diri yang baik bagi beberapa makanan asas seperti ayam, telur, ikan tempatan dan buah-buahan, namun masih bergantung kepada import untuk barangan penting seperti gandum, beras, daging lembu serta makanan ternakan.
“Ini menjadikan bekalan negara sensitif kepada keputusan negara pengeksport. Walaupun kerajaan mempunyai stok penimbal untuk beberapa bulan, kestabilan bekalan masih bergantung kepada perdagangan dunia,” katanya.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, beliau menegaskan bahawa tingkah laku pengguna memainkan peranan penting.
Pembelian panik boleh menyebabkan kekurangan sementara di pasaran walaupun bekalan sebenarnya mencukupi.
“Pengguna perlu membeli secara berhemah, elakkan pembaziran dan pelbagaikan sumber makanan. Juga perbanyakkan simpanan tunai.
“Inisiatif seperti kebun komuniti juga boleh membantu meningkatkan daya tahan makanan. Pengeluaran makanan tempatan perlu diperkukuhkan dan stok penimbal mestilah cekap untuk mengatasi masalah yang timbul,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan langkah kawalan eksport secara bersasar sekiranya krisis berlarutan, seperti yang pernah dilakukan ketika larangan eksport ayam pada 2022-2023.
Kongsi beliau lagi, Malaysia pernah menghadapi beberapa tekanan makanan sebelum ini, walaupun tidak sampai tahap krisis besar, antaranya ketika krisis harga makanan dunia 2008, yang mana harga beras dunia melonjak akibat sekatan eksport beberapa negara dan lonjakan harga minyak dunia.
“Ketika pandemik Covid-19 antara 2020 hingga 2022, harga minyak merudum, namun kita mengalami gangguan logistik dan kekurangan pekerja sektor pertanian yang kemudian menjejaskan rantaian bekalan makanan,” katanya.
RISIKO HILANG KERJA
Sementara itu, akauntan di sebuah syarikat pembinaan, Cik Nurlaili Anwar, 32 tahun, berkongsi kegelisahannya terutama kemungkinan hilang pekerjaan, kesan konflik di Asia Barat itu.
Menurutnya sektor pembinaan yang tidak menerima subsidi diesel antara yang paling terkesan apabila harga bahan api ketika ini melambung dan beliau bimbang ia akan menjejaskan syarikat lalu membawa kepada risiko kehilangan pekerjaan.
Dalam masa sama, bagi Cik Nurlaili, perubahan kuota subsidi petrol daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan telah menjadi cabaran tambahan dan beliau berharap kerajaan mengekalkan subsidi RON95.
“Kalau kerajaan nak tarik subsidi petrol itu memang akan beri kesan besar pada rakyat terutama golongan bergaji pertengahan seperti saya. Bantuan kerajaan pula banyak ditumpukan kepada golongan rentan, sedangkan golongan pendapatan sederhana sebenarnya paling terkesan, tapi orang tak nampak.
“Walaupun kami belum mempunyai anak, saya masih menanggung ibu bapa. Suami yang bekerja sebagai penyelia di syarikat elektronik juga terkesan kerana jualan syarikat merudum, sedangkan pendapatan mereka banyak bergantung kepada komisen,” katanya kepada BM.
Peniaga apam balik, Cik Asnita Muchtar, 63 tahun, pula berkata ketika ini beliau sudah merasai kesan kecil daripada konflik itu apabila harga tepung untuk jualannya naik RM3, kepada RM33 sekotak, selain peningkatan beberapa kos lain.
“Ketika Covid-19, tiga bulan saya hilang pendapatan. Walaupun sekarang kita tak perlu berkurung di rumah seperti ketika pandemik dulu, saya semakin merasakan kesan pendapatan menurun kerana pelanggan kian kurang berbelanja dan mahu berjimat,” katanya.

