Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontraktor, anak saudara didakwa bunuh pesara, buang ke sungai

Oct 17, 2024 | 1:29 PM
Tertuduh Mazuan Hanafi, 38 tahun, dan anak saudaranya Muhd Asyraf Idris, 26 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh pesara pegawai kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom,  pada 4 September.
Tertuduh Mazuan Hanafi, 38 tahun, dan anak saudaranya Muhd Asyraf Idris, 26 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh pesara pegawai kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom, pada 4 September. - Foto BERNAMA

JITRA (Kedah): Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 17 Oktober, atas tuduhan membunuh pesara pegawai kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, pada 4 September.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan ke atas Mazuan Hanafi, 38 tahun, dan Muhd Asyraf Idris, 26 tahun, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

Mengikut kertas tuduhan, Mazuan dan Muhd Asyraf secara bersama melakukan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas Encik Sabari pada 5.30 pagi 4 September.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap dalam daerah Kubang Pasu, lapor Berita Harian Malaysia.

Berikutan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Noridien serta Mohamad Rizal Fadzil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nurul Huda kemudian menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas kedua-dua tertuduh dan sebutan semula kes pada 5 Januari 2025.

Pada 16 Oktober, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes bunuh Encik Sabari dan dokumen itu sudah dirujuk kepada Datuk Khairul Anwar pada 14 Oktober.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Sungai Petani memerintahkan kedua-dua tertuduh direman selama seminggu berakhir 17 Oktober, bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Media sebelum ini melaporkan Encik Sabari, mantan pegawai kewangan Felcra, dilaporkan hilang pada 3 September, selepas dipercayai keluar dari rumah di Kampung Mengkuang Tengah, Baling, menaiki kereta Proton Waja miliknya.

Laporan polis dibuat selepas mangsa gagal dihubungi ahli keluarga serta tidak pulang ke rumah.

Kehilangannya bertambah misteri apabila keretanya ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di Kampung Pulau Belantek, Sik, Kedah.

Ahli keluarga mengesyaki Encik Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang daripada akaunnya ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.

Datuk Fisol kemudian memaklumkan bahawa polis telah menahan dua suspek pada 27 September bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, suspek terbabit membuat pengakuan mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap di Derang, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Operasi pencarian telah dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober melibatkan pelbagai agensi sebelum ditamatkan pada 3 Oktober selepas tidak menemui sebarang petunjuk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg