Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Misi cari mangsa dicampak ke Sungai Padang Terap ditamatkan

Oct 3, 2024 | 1:08 PM
Operasi mencari Encik Sabari Baharom, 62 tahun, di Sungai Padang Terap, di Jitra, Kedah ditamatkan pada 2 Oktober.
Operasi mencari Encik Sabari Baharom, 62 tahun, di Sungai Padang Terap, di Jitra, Kedah ditamatkan pada 2 Oktober. - Foto NSTP

JITRA (Kedah): Operasi mencari pesara kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Jitra, Kedah, ditamatkan pada 2 Oktober, selepas usaha pihak berkuasa selama tiga hari sejak 30 September gagal menemui sebarang petunjuk.

Isteri mangsa, Cik Subhiah Ruslina Shahibi, 57 tahun, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak berkuasa pada 2 Oktober malam.

Menurutnya, beliau dan ahli keluarga turut melawat lokasi kejadian, iaitu di Jambatan Kampung Empa, Derang, Jitra, lapor Harian Metro.

Difahamkan, operasi pencarian selama tiga hari yang bermula pada 30 September meliputi radius 13 kilometer Sungai Padang Terap, namun tidak menemukan sebarang petunjuk sehingga pencarian terpaksa dihentikan.

Operasi pencarian Encik Sabari digerakkan selepas polis menahan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun, pada 27 September, bagi membantu siasatan kes kehilangan warga emas itu.

Sebelum ini, keluarga Encik Sabari mengesyaki beliau dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya sejak 3 September.

Kereta yang dipandu Encik Sabari pada hari kehilangannya turut ditemui terbakar di Belantik, Sik, Kedah, oleh penduduk kampung.

Pada 30 September, polis mengesahkan suspek mengakui Encik Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Operasi pencarian jasad Encik Sabari berdepan kesukaran berikutan keadaan sungai yang bercabang.

Operasi itu disertai Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di Pulau Pinang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu, Kedah.

Cik Shubiah Roslina berkata beliau dan keluarga reda dengan ketentuan Allah swt bahawa suaminya sudah tiada selepas operasi pencarian pada hari ketiga menemui jalan buntu.

Namun katanya beliau dan keluarga berpuas hati dengan usaha pasukan penyelamat melakukan pencarian di sekitar kawasan sungai, tempat suaminya dipercayai dicampak dalam kejadian itu.

“Pihak polis pun cakap, mereka tahu perkara ini dah lewat sebab kejadian berlaku pada 4 September lalu dan terus buat operasi ini selepas menahan dua suspek,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg