Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek campak pesara Felcra ke sungai di Kedah samun RM16,000 sebelum bunuh mangsa

Oct 4, 2024 | 3:02 PM
Lokasi pencarian pesara kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, yang dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Jitra, Kedah, selepas dipercayai disamun dan dibunuh suspek.
Lokasi pencarian pesara kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, yang dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Jitra, Kedah, selepas dipercayai disamun dan dibunuh suspek. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR (Kedah): Suspek lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai mencampak pesara kewangan Felcra, Encik Sabari Baharom, 62 tahun, ke Sungai Padang Terap, di Jitra, Kedah, disyaki membelanjakan RM16,000 ($4,909) untuk berjudi di Batam, Indonesia, sebelum ditahan polis.

Suspek bersama anak saudaranya yang berusia 26 tahun dikatakan ke Batam selepas bertindak membunuh Encik Sabari dan mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM16,000.

Kata sumber, suspek terbabit juga didapati mengalami masalah ketagihan judi dan sering keluar negara bagi melakukan kegiatan berkenaan.

“Suspek dipercayai membunuh Sabari pada 4 September lalu, sebelum bertindak ke Batam untuk berjudi. Suspek dikatakan mengalami ketagihan judi dan turut bermain judi dalam talian.

“Suspek dipercayai menghabiskan wang yang disamunnya dari mangsa di sebuah kasino di Batam sebelum pulang ke Malaysia,” katanya, lapor Harian Metro.

Difahamkan suspek dan anak saudaranya yang dikenali mangsa sebagai kontraktor ditahan polis di kawasan sempadan di selatan tanah air pada 27 September lalu, selepas tidak menyedari polis berjaya mengenal pasti identiti mereka.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, memaklumkan operasi pencarian jasad Encik Sabari di sungai terbabit dihentikan pada 2 Oktober petang, selepas polis gagal menemui sebarang petunjuk sejak operasi pencarian dijalankan bermula 30 September.

Polis dalam kenyataan sebelum ini berkata dua suspek berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan pada 27 September mengaku mencampak Encik Sabari ke Sungai Padang Terap, dalam keadaan tangannya diikat dan mulutnya ditampal pita pelekat.

Susulan itu siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang membabitkan mangsa dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Kehilangan mangsa menjadi persoalan oleh ahli keluarganya apabila kereta milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Kedah, namun mangsa dilaporkan tiada di tempat kejadian.

Berikutan itu, ahli keluarga mengesyaki Encik Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji milik mangsa ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya pada 3 September lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg