PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menutup sekolah agama yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB), yang menjadi tumpuan kontroversi selepas premis yang dikaitkan dengannya diserbu polis pada 11 September.
Pengerusi Mais, Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata arahan menutup sekolah itu juga berdasarkan video tular yang mengaitkan syarikat itu dengan kumpulan terpesong Al-Arqam yang diharamkan di Selangor.
“Video-video tersebut telah mengaitkan GISB dengan ajaran dan amalan Al-Arqam, yang diharamkan di Selangor di bawah tiga fatwa yang dikeluarkan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 2 Disember 2006,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Fatwa tersebut juga mengharamkan sebarang ajaran dan amalan yang mempunyai persamaan dengan Al-Arqam.
“Pegawai penguatkuasa agama dan inspektorat sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah diarah menyiasat segera semua rumah kebajikan dan sekolah yang dikaitkan dengan GISB bagi memastikan tiada ajaran sesat disebarkan di premis ini,” kata Encik Abdul Aziz.
Beliau seterusnya berkata jika sekolah itu didapati menyebarkan ajaran sesat, pendaftarannya akan dibatalkan dan sekolah ditutup di bawah undang-undang syariah negeri, lapor The Straits Times.
Encik Abdul Aziz berkata Jais akan menawarkan kerjasama penuh kepada polis, sedang pihak berkuasa agama Selangor menyokong penuh tindakan polis terhadap sebarang penderaan, termasuk gangguan seksual, di sekolah-sekolah tersebut di bawah undang-undang itu.
Kenyataan pengerusi Mais itu dibuat menyusuli serbuan polis pada 11 September, yang menyaksikan 402 remaja bawah umur diselamatkan dan 171 individu ditangkap dari 20 premis yang dikaitkan dengan GISB.
Sementara itu, ketua GISB menolak dakwaan berlakunya kegiatan pemerdagangan manusia dan perhambaan dalam syarikat itu meskipun beliau mengaku ada “satu atau dua kes liwat terasing”.
Sedang syarikatnya terbabit dengan berita mengenai serbuan polis berhubung dakwaan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak, pengarah eksekutif GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, juga berkata beliau berasa jijik dengan dakwaan kanak-kanak dalam masyarakatnya diajar untuk meliwat.
Beliau berkata demikian menerusi satu video yang disiarkan dalam Facebook pada 14 September.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula berkata pihaknya telah mengadakan sesi dialog berhubung dakwaan ajaran Islam sesat dengan GISB sejak Februari 2019.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat ketua pengarah Jakim pada 14 September, jabatan itu berkata ia telah menganjurkan 12 mesyuarat, bengkel dan inisiatif pasukan petugas nasional bagi menangani isu berkaitan syarikat itu.
“Dialog itu termasuk wakil dari Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Ia menambah bahawa satu sesi tertutup dengan GISB telah dijalankan dengan wakil daripada Jawatankuasa Muzakarah, Jabatan Peguam Negara, panel aqidah Jakim dan pakar tasawuf pada September 2019.
“Satu sesi khas bersama Kementerian Dalam Negeri dan polis telah diadakan pada Julai 2022 untuk menyelaras respons terhadap isu yang dibangkitkan, yang diikuti dengan perbincangan lanjut,” tambah Jakim.
Ketua Polis Negara Malaysia berkata 39 lagi rumah jagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB berada di bawah pemerhatian polis berhubung dakwaan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak.
Tan Sri Razarudin Husain berkata rumah jagaan tersebut terletak “di seluruh negara”.
“Rumah jagaan berada dalam pemantauan kami. Kami tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil berikutan serbuan yang dilakukan pada Rabu,” kata beliau ketika dihubungi pada 14 September.
Beliau berkata serbuan ke atas 20 rumah jagaan pada 11 September di bawah Op Global adalah kemuncak siasatan selama enam bulan.
“Kami telah menyiasat syarikat itu sejak 2011, sebelum dakwaan terhadapnya dibuat di media sosial.
“Saya bertemu dengan wakil Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat enam bulan lalu. Merekalah yang memberi kami maklumat awal yang (membuat kami) menyemak semula pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap syarikat itu,” tambahnya. – THE STAR/ASIA NEWS NETWORK
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg