Bukan saja diliwat, malah ratusan kanak-kanak dan remaja mangsa eksploitasi dan pengabaian yang diselamatkan polis dari 20 rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dikatakan menjalani proses pertumbuhan yang ‘pelik’.
Ujian perubatan terhadap 13 daripada ratusan kanak-kanak dan remaja terbabit mendapati mangsa disyaki pernah diliwat dan susulan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap empat lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tersebut.
Pendedahan Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, itu berdasarkan saringan perubatan yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dengan semua mangsa berusia belasan tahun.
Tambah menyedihkan, daripada 402 mangsa yang diselamatkan polis dalam serbuan di 18 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan dua di Negeri Sembilan, seramai 10 daripadanya adalah kanak-kanak kurang upaya serta autisme.
Menurut Tan Sri Razarudin, kanak-kanak di rumah amal terbabit didakwa menjalani proses pertumbuhan pelik apabila mereka diasingkan daripada ibu bapa sejak berusia dua tahun.
“Maklumat risikan mendapati kanak-kanak ini akan diasingkan daripada keluarga seawal usia dua tahun dan mereka akan diletakkan di rumah amal berkenaan,” katanya, mengulas perkembangan lanjut kes yang menggemparkan ramai itu.
Tan Sri Razarudin mengesahkan ada ibu bapa berada di Arab Saudi dan Turkey selama lima hingga enam tahun, tetapi anak mereka ditinggalkan di Malaysia.
“Namun, kita belum pasti sama ada ibu bapa terbabit dipaksa berbuat demikian atau sebaliknya dan tujuan ibu bapa kanak-kanak terbabit ke luar negara, semuanya masih disiasat,” katanya.
Pada 11 September, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH.
Turut mengejutkan, apabila siasatan mendapati sebahagian penghuni rumah amal itu diajar cara meliwat, diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.
Keseluruhan kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan itu terdiri daripada generasi ketiga dan keempat. Semua mereka kini menjalani saringan kesihatan fizikal dan mental dan ditempatkan di rumah perlindungan.
Polis juga menafikan lewat bertindak sehingga kumpulan perniagaan GISBH itu berkembang pesat dan banyak salah laku berlaku terutama pengabaian dan eksploitasi kanak-kanak serta kes gangguan seksual.
Jelas Tan Sri Razarudin, siasatan sudah dilakukan sejak 2011, namun tangkapan hanya dibuat selepas terdapat petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan itu diambil.
Menurutnya siasatan juga menjurus kepada aliran dana disumbangkan kepada 20 pusat jagaan terbabit dan perniagaan lain yang dijalankan GISBH oleh pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram (Amla) Bukit Aman.
“Kita percaya pusat jagaan ini mempunyai penaja lain, selain GISBH. Ada juga rumah orang tua yang menerima dana daripada GISBH dan sumber lain juga,” dedahnya.
Kes berkenaan mendapat perhatian banyak pihak termasuk Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif memperkukuhkan pemantauan ke atas rumah amal dan institusi penjagaan kanak-kanak lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga mahu siasatan dan tindakan berhubung kes GISBH disegerakan kerana isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama dan penderaan adalah perkara besar jika terbukti benar.
Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia dari 17 hingga 64 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg