Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Premis niaga Global Ikhwan di Kelantan, Terengganu, lengang

Sep 13, 2024 | 12:32 PM
Restoran dikendalikan Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di Terengganu lengang pada 13 September, selepas syarikat itu terpalit dengan dakwaan kes eksploitasi dan gangguan seksual kanak-kanak.
Restoran dikendalikan Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di Terengganu lengang pada 13 September, selepas syarikat itu terpalit dengan dakwaan kes eksploitasi dan gangguan seksual kanak-kanak. - Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: Beberapa premis perniagaan milik Global Ikhwan Services & Business Berhad Holdings (GISBH) di Terengganu dan Kelantan lengang selepas syarikat berkenaan didakwa terbabit dengan kes pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak.

Di Kelantan, beberapa premis seperti Restoran Ikhwan (Nasi Arab), Kedai Roti Ikhwan dan Hotel Ikhwan di Jalan Long Yunus, Kota Bharu, mendapati ia masih beroperasi seperti biasa, begitu juga dengan sebuah lagi restoran, kedai runcit serta premis Butik dan Jahitan milik GISBH di Jalan Tok Guru.

Pekerja sebuah kedai berdekatan premis berkenaan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 36 tahun, berkata restoran berkenaan kurang dikunjungi pelanggan sejak kebelakangan ini, mungkin selepas terpalit dengan isu yang tersebar.

“Bagaimanapun, sebelum ini tiada sebarang kegiatan mencurigakan yang dilakukan pekerja dan mereka hanya menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Cuma apa yang saya tahu, kebanyakan pelanggan mereka terutama di restoran (Nasi Arab) adalah orang luar dari Kota Bharu.

“Kebanyakan yang bekerja adalah anak muda dan bukan di bawah umur. Mereka mudah dikenali kerana biasanya mengenakan seragam yang sama termasuk bersongkok dengan logo syarikat terbabit.

“Namun, saya akui mereka sukar didekati dan biasanya bergaul dalam kumpulan mereka saja,” katanya, lapor Harian Metro.

Di Terengganu pula, restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin, dikendalikan GISBH turut sepi berbanding kebiasaan dan hanya beberapa pelanggan sedang minum dalam premis berkenaan.

Sementara itu, wakil GISBH Terengganu yang enggan namanya disiarkan menafikan pihaknya ada menyediakan pusat jagaan dan rumah amal di Terengganu.

“Aktiviti dijalankan GISBH Terengganu hanya membabitkan bidang perniagaan iaitu restoran, peruncitan dan bakeri.

“Kita tidak menggunakan pekerja dalam kalangan kanak-kanak, sebaliknya belia berusia lebih 20 tahun,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tindakan polis di rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pada 12 September dilaporkan berkata polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu dengan 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, hasil serbuan dalam Op Global dari 6 hingga 11 pagi pada 11 September itu, pihaknya mengesyaki berlaku kesalahan eksploitasi, pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg