Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kopi ‘tenggek’ kekal popular di Johor

Jun 16, 2025 | 3:50 PM
Kopi tenggek, Pontian, Johor
Kopi ‘tenggek’ dihasilkan menggunakan bekas penapis logam kecil yang berisi 10 gram serbuk kopi diletakkan atas permukaan gelas, sebelum air panas bersuhu 97 darjah Celsius dituang perlahan-lahan ke dalam penapis, yang diilhamkan penjual kopi di Vietnam. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Walaupun berdepan persaingan daripada pelbagai jenama kopi moden dan francais global, kopi ‘tenggek’ yang popular di negeri ini kerana keunikannya masih mendapat tempat dalam kalangan penggemar rasa kopi asli.

Kopi ‘tenggek’ dihasilkan menggunakan bekas penapis logam kecil yang berisi 10 gram serbuk kopi diletakkan atas permukaan gelas, sebelum air panas bersuhu 97 darjah Celsius dituang perlahan-lahan ke dalam penapis.

Keunikan penyajian kopi ‘tenggek’ yang menggunakan penapis yang seolah bertenggek atas gelas, terus memikat hati penggemar kopi tempatan dan antarabangsa, menjadikannya antara tarikan unik walaupun kafe hipster muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan di negeri ini, lapor Bernama.

Penggemar kopi Cik Rafidah Jaes, 43 tahun, berkata beliau amat meminati rasa kopi ‘tenggek’ disebabkan kesederhanaan dan keasliannya, dengan rasa unik kopi Liberica yang sedikit masam.

Aroma dan rasa kopi asli memberi pengalaman berbeza kepada peminatnya.

“Rasa kopi ini tidak terlalu kompleks dan cara ia dititiskan perlahan ke dalam cawan buatkan kita lebih menghargai setiap hirupan. Ia tak terlalu pahit, tak terlalu manis cukup sempurna untuk pencinta kopi tegar,” katanya.

Bagi Datuk Mazlan Aliman, 59 tahun, kopi ‘tenggek’ bukan sekadar minuman tetapi satu kenangan.

“Ia mengingatkan saya pada arwah ayah, warung kampung, suasana santai. Mesin moden kadang-kadang hilangkan minyak asli kopi. Yang ini rasanya tulen,” katanya, yang juga bekas penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan.

Sementara itu, Encik Hazim Salim, 33 tahun, berkata beliau lebih memilih kopi ‘tenggek’ disebabkan harganya yang lebih murah, namun lengkap dengan rasa pahit, manis dan aroma kopi.

Pemilik Kopi Tenggek Tanjung Piai, Encik Ghazaley Ayiub, 58 tahun, berkata beliau mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan kopi itu setelah berkunjung ke Saigon, Vietnam dan melihat ramai pembonceng motosikal yang menjual kopi mereka dengan cara sedemikian.

Bagaimanapun, keistimewaan Kopi Tenggek Tanjung Piai terletak pada penggunaan biji kopi Liberica dari Johor yang digoreng sendiri dengan suhu terkawal.

“Kami campurkan Liberica dengan Arabica untuk hasilkan rasa yang seimbang – antara medium dan dark roast.

Liberica ni rasa dia ada ‘fruity’ (perisa buah) sikit, ada yang rasa macam mangga… dan itu yang buat orang datang semula,” katanya ketika ditemui pada pembukaan cawangan kedua di Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini.

Anak jati Pontian itu berkata cawangan pertama di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian menerima antara 1,000 hingga 1,500 pengunjung setiap hujung minggu, menunjukkan sambutan hangat rakyat terhadap kopi ‘tenggek’.

Antara kenangan manis Encik Ghazaley ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah tiga kali berkenan singgah di kedainya, manakala Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail juga dua kali berkenan mengunjungi kedainya bersama pasukan bola sepak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg