JOHOR BAHRU: Usaha meringankan kos sara hidup dan memperluas peluang memiliki rumah mampu milik merupakan antara lima bidang yang mungkin diberi perhatian dalam Belanjawan Johor 2027.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Anuar Abd Manap, berkata bidang lain merangkumi pendidikan dan generasi muda, ekonomi dan pekerjaan, serta pembangunan prasarana dan kemudahan asas.

“Keutamaan bukan sahaja diberikan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, malah turut menitikberatkan kebajikan rakyat serta masa depan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan pada 17 November.

Menurut Encik Anuar, kebajikan rakyat merangkumi usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan meringankan beban perbelanjaan harian.

Dalam soal pemilikan rumah pula, beliau menyebut usaha membuka lebih banyak peluang kepada rakyat memiliki kediaman sendiri melalui penyediaan perumahan mampu milik.

Bagi pendidikan dan generasi muda, antara perkara yang disenaraikan ialah usaha memperkukuh pendidikan serta menyediakan peluang pembangunan dan masa depan yang lebih baik kepada golongan muda.

Beliau turut menyebut sokongan terhadap keusahawanan dan peluasan peluang pekerjaan sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan ekonomi negeri.

Pembangunan prasarana serta peningkatan kemudahan asas di kawasan bandar dan luar bandar juga mungkin diberi perhatian dalam Belanjawan itu.

Encik Anuar berkata kerajaan negeri mahu memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung Belanjawan Johor 2027 pada Khamis, 19 November 2026, mulai 9.30 pagi, menerusi halaman Facebook rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.