Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor lantik 10 Timbalan Exco perkukuh penyampaian kerajaan
Johor lantik 10 Timbalan Exco perkukuh penyampaian kerajaan
Onn Hafiz: Langkah percepat pelaksanaan manifesto, jayakan Maju Johor 2030 dan JETP
Johor lantik 10 Timbalan Exco perkukuh penyampaian kerajaan
Kerajaan Johor melantik 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri atau Timbalan Exco bagi memperkukuhkan keupayaan pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjelang sasaran Maju Johor 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan segala janji manifesto kerajaan negeri dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kerajaan negeri akan memastikan segala janji manifesto yang telah dibentangkan diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang akan dirasai oleh seluruh rakyat Bangsa Johor.
“Pada masa yang sama, pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) akan menjadi antara fokus utama bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh, seimbang dan inklusif di setiap daerah di negeri Johor dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pelantikan itu di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, pada 22 Julai.
Datuk Onn Hafiz berkata kepesatan pembangunan negeri memerlukan kapasiti pentadbiran diperkukuhkan supaya setiap dasar, projek dan program dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta berkesan.
Sehubungan itu, beliau membawa cadangan pelantikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri kepada Pemangku Sultan Johor yang kemudiannya memperkenankan cadangan tersebut.
Antara yang dilantik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Encik Zaidi Japar sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Adun Serom, Cik Nadhirah Afiqah Abdull Rahim bagi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi; serta Adun Pemanis, Encik Anuar Abd. Manap bagi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.
Turut dilantik ialah Adun Tenggaroh, Encik Mohd Youzaimi Yusof bagi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar; Adun Mahkota, Encik Syed Hussein Syed Abdullah bagi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia; serta Adun Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri bagi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi.
Selain itu, Adun Johor Jaya, Cik Chan San San dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Adun Gambir, Encik Sahrihan Jani bagi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar; Adun Layang-Layang, Encik Chua Jian Boon bagi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya; manakala Adun Kahang, Encik Rugendran Vellayan dilantik bagi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.
Barisan Timbalan Exco itu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita dengan Encik Rugendran, 29 tahun, merupakan anggota termuda, manakala Encik Zaidi, 57 tahun, ialah yang paling berusia.
Datuk Onn Hafiz berkata setiap Timbalan Exco akan memainkan peranan membantu Exco negeri memantau pelaksanaan projek, menyelaras tindakan di lapangan serta memastikan setiap inisiatif kerajaan sampai kepada rakyat.
“Ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk membantu memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, mempercepatkan penyelesaian isu rakyat, serta memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan.
“Setiap Timbalan Exco perlu bekerjasama rapat dengan Exco, jabatan dan agensi berkaitan dalam memantau pelaksanaan projek dan program, menyelaraskan tindakan di lapangan, serta memastikan setiap manfaat yang dirancang benar-benar sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.