Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kubur penuntut UPSI dipasang tali penghadang, elak perlakuan ‘khurafat’

Jun 30, 2025 | 9:53 AM
upsi, kemalangan, bas, nurly sahirah
Ahli keluarga bergotong-royong memasang tali penghadang dan tindakan pembersihan lain di kubur Nurly Sahirah Azman, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, Perak pada 9 Jun. - Foto HARIAN METRO

BESUT (Terengganu): Kubur penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Sahirah Azman yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, Perak pada 9 Jun, lalu dipasang tali penghadang bagi mengelak sebarang perlakuan yang mengundang ‘khurafat’ (kepercayaan yang karut).

Tinjauan wartawan di pusara Allahyarham yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini, mendapati dua abang serta seorang lagi ahli keluarga bergotong-royong memasang tali penghadang itu pada 6.30 petang, 28 Jun.

Mereka turut menanam pokok di pusara berkenaan selain meletakkan batu kecil berwarna putih bagi menutupi kawasan tanah pada kubur, lapor Harian Metro.

Abang arwah, Encik Mohd Najmuddin Azman, 28 tahun, berkata keluarga mereka terpaksa mengambil tindakan begitu untuk mengelak perkara tidak sepatutnya.

“Langkah ini sebagai usaha untuk mencegah sekiranya berlaku amalan tidak baik di kawasan kubur arwah Nurly.

“Saya juga berpesan kepada orang ramai supaya tidak melintasi tali berkenaan, cukup sekadar berdoa dari luar kawasan tali sahaja.

“Rondaan juga akan dilakukan di kawasan ini secara berterusan kerana ramai pengunjung tidak putus-putus menziarahi kubur arwah sejak dari awal tragedi,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah meletakkan notis pemberitahuan mengenai keperluan menjaga adab ketika menziarahi kubur adiknya, antaranya larangan mengambil apa-apa dari kawasan perkuburan itu.

“Tetapi kali ini kami terpaksa mengambil tindakan lebih tegas,” katanya.

Sebelum ini, hantaran Facebook tular mendakwa ada pengunjung mengambil tanah kubur dipercayai daripada pusara arwah Nurly untuk dibawa pulang, malah ada dakwaan yang mengatakan tanah kubur itu kemudiannya disapu pada muka anak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg