Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas pelajar UPSI: Siswa patah tangan lebih risau tentang ibu bapa kurang upaya

Jun 21, 2025 | 11:28 PM
UPSI, Adham, OKU, masalah penglihatan
 Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan (kanan), yang patah tangan kiri selepas terlibat dalam kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak, lebih risaukan ibunya, Cik Zunidah Ibrahim, yang cacat penglihatan dan baru sahaja menjalani pembedahan pada bahagian leher untuk rawatan dialisis kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap enam. Bersamanya ialah bapanya, Tuan Adnan Nik Him, yang juga kurang upaya dari segi penglihatan dan fizikal. - Foto NURUL FATIHAH SULAINI/HARIAN METRO

BESUT: Biarpun belum pulih daripada kecederaan, mangsa kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21 tahun, lebih memikirkan keadaan kesihatan ibunya.

Pelajar ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, mengalami patah tangan kiri, luka di kaki kanan serta kecederaan di beberapa anggota badan.

Adham memberitahu Harian Metro, ketika kejadian berlaku beliau sedang tidur, namun tersedar apabila bas dalam keadaan tidak stabil sebelum terbalik.

“Kejadian berlaku sekelip mata. Saya kemudian tercampak ke luar bas hingga masuk ke dalam longkang.

“Nasib baik ada salah seorang penumpang sedar saya berada dalam longkang dan dia membantu saya dengan menarik tangan keluar dari longkang.

“Saya dihantar ke Hospital Taiping, Perak untuk menerima rawatan beberapa hari sebelum dibenarkan pulang pada 13 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jertih, pada 19 Jun.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, lengan kirinya dimasukkan besi selain turut menerima 24 jahitan.

Katanya, dalam keadaan sekarang, beliau terpaksa melalui ujian berganda apabila ibunya, Cik Zunidah Ibrahim, 51 tahun, pula dimasukkan ke Hospital Besut pada hari beliau dibenarkan keluar wad.

“Ibu menjalani pembedahan pada bahagian leher untuk rawatan dialisis kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap enam.

“Saya mendapat tahu ibu masuk ke hospital ketika dalam perjalanan pulang dari Perak ke Besut. Waktu itu saya ingin sangat jumpa ibu kerana takut tidak sempat jumpa,” katanya.

Ibunya adalah orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan, manakala bapanya Tuan Adnan Nik Him, 60 tahun, pula adalah OKU penglihatan serta fizikal.

Adham, anak bongsu dalam tiga beradik, berkata walaupun tangannya masih dalam keadaan berbalut, beliau perlu berulang-alik ke hospital untuk menziarahi ibu serta rawatan lukanya.

“Setakat ini saya masih belum mengikuti sebarang kelas dalam talian, namun tetap membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan melalui dalam talian, yang dijangka pada Julai nanti.

“Saya mungkin akan kembali ke kampus pada penggal akan datang iaitu sekitar Oktober depan selepas keadaan saya pulih sepenuhnya,” katanya.

Katanya, kemalangan tragis itu turut mengorbankan tiga rakan sepengajiannya iaitu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Allahyarhamha Nurul Fatihah Abu Setaman serta Allahyarhamha Nurul Izyanti Muhamad Azahar.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam 13035020925516 atas nama Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan.

Sementara itu, beberapa mangsa kemalangan dikenal pasti mengalami kecederaan serius yang mengakibatkan kecacatan kekal.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pihak kementerian bagi mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang akan diberikan kepada mangsa.

Menurutnya, kes yang melibatkan kecederaan serius seperti patah kaki, kehilangan anggota badan dan kecederaan jangka panjang akan diberikan perhatian khusus.

Katanya, kesemua kes yang membabitkan kecacatan kekal akan melalui proses siasatan dan penilaian sebelum bantuan susulan disalurkan.

“Dari segi jumlah mangsa yang alami kecacatan kekal akibat insiden ini masih dalam siasatan kerana ada mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk di Perak dan Terengganu,

“Jadi biarlah mereka stabil dahulu sebelum kita jalankan proses lanjut kerana proses ini kita perlu lakukan secara berhemah,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi mangsa tragedi, Nur Ain Najwa Mohd llias, 23, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Gong Kemuntong, di sini pada 18 Jun.

Datuk Seri Noraini berkata mesyuarat pasca Kabinet Kementerian turut memutuskan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang dan melakukan siasatan ke atas semua mangsa untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.

“Kita tidak mahu mereka yang mengalami kecederaan kekal ini terbeban dari sudut kewangan dan emosi.

“Tanggungjawab kita adalah untuk hadir membantu mereka sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Noraini turut memaklumkan pihak kementerian turut menyalurkan bantuan Pelindungan Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat (Peka) dalam bentuk wang tunai di samping khidmat kaunseling psikologi oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak.

“Khidmat ini boleh bergerak ke mana-mana kalau sekiranya perlukan bantuan mereka boleh datang (ke lokasi mangsa),” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg