Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas pelajar UPSI: Naskhah Al-Quran tulisan tangan mangsa kemalangan jadi tumpuan

Nurly Shahirah Azman meninggal dengan peluk mushaf di dada
Jun 11, 2025 | 10:16 PM
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (tiga dari kiri) berkenan mencemar duli melawat keluarga Allahyarhamha Nurly Shahirah Azman (foto yang dilampirkan), antara yang terkorban dalam nahas tragis melibatkan pelajar UPSI.
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (tiga dari kiri) berkenan mencemar duli melawat keluarga Allahyarhamha Nurly Shahirah Azman (foto yang dilampirkan), antara yang terkorban dalam nahas tragis melibatkan pelajar UPSI. - Foto ihsan MOHD NAJMUDDIN AZMAN

SHAH ALAM: Naskhah Al-Quran yang ditulis tangan oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Cik Nurly Shahirah Azman, 23 tahun, menjadi perhatian pengunjung yang hadir menziarahi keluarganya.

Allahyarhamha merupakan salah seorang daripada 15 mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak, pada 9 Jun.

Memetik laporan media Malaysia, ramai yang hadir ke kediaman keluarganya di Kampung Gong Pasir, Kerandang di Jertih pada 11 Jun, termasuk bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu iaitu Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut mengiringi baginda ialah Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’.

Tengku Muhammad Ismail dan rombongan yang hadir meluangkan masa selama kira-kira 15 minit bersama keluarga Allahyarhamha dan turut meneliti dengan dekat naskhah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan oleh Cik Nurly Shahirah.

Rombongan diraja itu tiba di lokasi kira-kira 10.20 pagi dan disambut oleh bapa arwah, Encik Azman Mohamad, 63 tahun, serta ahli keluarga yang lain.

Sementara itu, melalui perkongsian Facebook abang Allahyarham, Encik Mohd Najmuddin Azman, mengucapkan terima kasih di atas kunjungan rombongan daripada Kerabat Diraja berkenaan.

“Terima kasih Tuanku mencemar duli datang ke rumah. Tuanku tengok hasil tangan arwah menulis al-Quran di buku.

“Itu merupakan amalan arwah untuk menguatkan hafazan...cantik sangat-sangat tulisan arwah,” katanya pada 11 Jun.

Encik Najmuddin turut berkongsi adiknya meninggal di lokasi kejadian sambil memegang Al-Quran di dada.

“Dik kau pergi al-Quran di tangan dan di dada dik.. Abang bangga dengan kau. Pergi mana-mana tak pernah tinggal Al-Quran kau,” tulisnya lagi.

Dalam perkongsian lain, Allahyarhamha disifatkan oleh gurunya sebagai seorang yang sangat ‘bersungguh’ menjaga Al-Quran serta sering meminta gurunya untuk menguji hafazannya.

Jenazah pelajar jurusan Pendidikan Khas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, negeri itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg