Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kucing usahawan M’sia sambut ulang tahun dengan baju ‘couture’

May 16, 2024 | 11:45 AM
Usahawan Malaysia dan pemilik pakaian Muslimah Bawal Exclusive, Cik Haliza Maysuri, bersama kucing jenis baka ‘Persian’ miliknya yang diberi nama Money, semasa sambutan ulang tahun kucing itu di salah satu butik Louis Vuitton di Malaysia. Kucing itu memakai baju couture hasil buatan Rizalman Couture, milik pereka tersohor Malaysia, Encik Rizalman Ibrahim.
Usahawan Malaysia dan pemilik pakaian Muslimah Bawal Exclusive, Cik Haliza Maysuri, bersama kucing jenis baka ‘Persian’ miliknya yang diberi nama Money, semasa sambutan ulang tahun kucing itu di salah satu butik Louis Vuitton di Malaysia. Kucing itu memakai baju couture hasil buatan Rizalman Couture, milik pereka tersohor Malaysia, Encik Rizalman Ibrahim. - Foto TIKTOK/HALIZAMAYSURI

KUALA LUMPUR: Baju ‘couture’ tersuai lumrahnya menelan belanja yang tinggi untuk ditempah dan dibuat, ada yang boleh mencecah ribuan dolar.

Perbelanjaan itu lebih tinggi apabila sulaman atau fabrik baju diperbuat daripada bahan sukar dicari, seperti manik-manik berlian atau sutera.

Apabila sudah siap, baju ini biasanya dipakai bagi acara istimewa atau sekadar untuk kenangan manis bagi individu.

Namun lain pula halnya bagi usahawan asal Malaysia, Cik Haliza Maysuri, setelah baju ‘couture’ yang telah siap dipakai oleh kucing jenis baka ‘Persian’, yang diberi nama ‘Money’.

Dalam satu hantaran akaun TikTok miliknya pada 9 Mei, beliau memaparkan baju ‘couture’ yang dibuat khas untuk kucing tersebut – hasil buatan Rizalman Couture milik pereka tersohor Malaysia, Encik Rizalman Ibrahim.

View post on TikTok

Baju labuh berlengan pendek itu dipenuhi dengan sulaman berlian ‘Swarovski’.

Pemilik jenama pakaian Muslimah Bawal Exclusive itu menyatakan: “Akhirnya, tercapai juga hajat Money nak pakai baju... macam Mama, letup berkilau mewah dengan Swarovski. Bersiap nak raikan hari lahir Money.”

Hantaran beliau tidak menjelaskan kos baju tersebut, tetapi warga net daripada ruangan komen menganggarkan kos tersebut bernilai lebih daripada RM10,000 ($2,860).

Dalam hantaran susulan pada hari yang sama, Cik Haliza memuat naik video sambutan hari lahir ‘Money’ di dalam kedai jenama fesyen ternama Louis Vuitton (LV).

Menurutnya, ia kali pertama LV mengadakan sambutan seumpama bagi haiwan peliharaan di butik mewahnya. Beliau tidak menyatakan lokasi butik tersebut.

Video itu menunjukkan kakitangan butik tersebut meraikan ulang tahun kucingnya, yang difahamkan ketujuh, dengan kek berupa kucing.

Kucing itu juga menerima barangan ciptaan tersuai – kolar kulit bernilai RM3,000 dan retikulum bernilai RM17,000. Difahamkan barangan itu ditempah khas dari Paris, Perancis.

Awal dari itu pada 2021 ketika ulang tahun kucing tersebut yang keempat, Money menerima rantai emas bernilai RM26,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg