Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ladang strawberi di Gunung Jerai jadi tarikan pelancong Kedah

Apr 29, 2025 | 5:34 PM
JERAI HILL STRAWBERRY FARM, strawberi, Kedah
Ladang strawberi di Gunung Jerai diusahakan supaya sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk luar bandar yang kurang mampu atau tidak pernah ke ladang strawberi di Tanah Tinggi Cameron, untuk merasai pengalaman memetik buah berkenaan di Gunung Jerai. - Foto FACEBOOK JERAI HILL STRAWBERRY FARM

Keindahan Gunung Jerai selalu menarik perhatian pengguna jalan raya setiap kali memasuki sempadan Kedah menerusi Lebuh Raya Utara Selatan.

Berketinggian 1,217 meter dari aras laut, Gunung Jerai sebelum ini kerap juga dikaitkan dengan cerita rakyat seperti Sang Kelembai, malah kisah mistik.

Namun, sebenarnya apa yang lebih menarik, Gunung Jerai menyimpan ‘rahsia’ orang Kedah iaitu strawberi Gunung Jerai.

Sebelum ini, mungkin ramai yang berpandangan kebun strawberi hanya diusahakan di Tanah Tinggi Cameron di Pahang, namun sebenarnya ia turut ditanam di Gunung Jerai.

Usaha berkenaan dilakukan seorang mantan guru yang sanggup mengeluarkan modal sehingga RM300,000 ($90,000) untuk membuka ladang strawberi di puncak gunung itu.

Encik Rushidi Md Nor, 50 tahun, berkata usaha itu sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk luar bandar yang kurang mampu atau tidak pernah ke ladang strawberi di Tanah Tinggi Cameron, untuk merasai pengalaman memetik buah berkenaan di Gunung Jerai.

“Semasa saya naik ke Gunung Jerai pada 2018, saya dapati ketika itu belum ada produk pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pelancong naik ke puncak gunung.

“Jadi, saya sanggup mengeluarkan modal sebanyak RM300,000 untuk membuka ladang strawberi di Gunung Jerai dengan keluasan 900 meter persegi, yang dinamakan sebagai Jerai Hill Strawberry Farm.

“Saya berharap ladang ini akan membantu tingkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Tuai tiap hari

Anak kelahiran Sik itu berkata percubaannya membuahkan hasil apabila ladang strawberi yang dibangunkan sejak 2019 semakin dikenali pengunjung, khususnya di utara Semenanjung Malaysia.

Katanya, sehingga kini sebanyak 4,000 pokok strawberi daripada pelbagai jenis seperti Festival, Monterey dan Royal Berry ditanam di ladang strawberi berkenaan.

“Tidak ketinggalan, kami juga menanam strawberi jenis Pineberry yang unik dengan memiliki warna putih dan rasa seperti campuran nanas dan strawberi.

“Secara purata buat masa ini pada hari biasa, kita boleh tuai tiga hingga enam kilogram buah strawberi setiap hari dengan penanaman dibuat secara bertingkat dan bukan di atas tanah.

“Kebiasaannya, pokok strawberi ditanam di puncak Gunung Jerai ini akan berbuah lebat antara November dengan Januari, dan kita mampu tuai hingga 16 kilogram sehari dan terus dijual kepada pengunjung,” katanya, yang mempunyai berpengalaman mengusahakan hampir sehektar ladang strawberi di Cameron Highland lebih 20 tahun.

Bercerita lanjut, Rushidi berkata selain strawberi, pengunjung turut berpeluang menikmati produk berasaskan strawberi termasuklah ‘scone’ dan aiskrim pada bila-bila masa.

Katanya, semua produk berasaskan strawberi dijual antara RM4 dengan RM20 itu dihasilkan sendiri di ladang berkenaan.

“Di sini juga dilengkapi dengan pelantar yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan lautan dan jelapang padi dari puncak Gunung Jerai.

“Sambil menjamah ‘scone’ atau aiskrim di pelantar, pengunjung boleh menikmati panorama indah selain udara segar dari puncak Gunung Jerai,” katanya.

Masuk percuma

Encik Rushidi berkata pada mulanya, beliau mengakui agak bimbang dengan sambutan pengunjung sebelum ini memandangkan turut terkesan teruk selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 dan runtuhan tanah di Gunung Jerai.

“Bagaimanapun, sambutan pengunjung kini amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu.

“Kami tidak kenakan bayaran dan pengunjung boleh masuk secara percuma ke ladang strawberi, yang dibuka antara 9 pagi dengan 6 petang setiap hari,” katanya.

Jelasnya, selain ladang strawberi dan produk hiliran berasaskan strawberi, orang ramai turut boleh mendapatkan benih strawberi dari Mesir yang juga rakan strategik mereka.

“Buat masa ini, ladang kami masih kecil namun ada rancangan untuk membesarkannya hingga mampu memuatkan 50,000 pokok strawberi dengan jangkaan hasil tuaian 100 kilogram sehari.

“Kami turut bercadang untuk menanam tanaman lain seperti anggur dan alpukat di sini untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan menarik di Kedah,” katanya.

● Gunung Jerai berketinggian 1,217 meter dan terletak di sempadan antara daerah Yan dengan Kuala Muda.

● Keunikan Gunung Jerai kerana ia terasing daripada sistem banjaran gunung di Semenanjung Malaysia dan terletak di pesisir pantai.

● Ada pandangan yang menyebut Gunung Jerai asalnya adalah sebuah pulau.

● Suhu tahunannya antara 19 darjah Celsius dengan 24 darjah Celsius dan selalunya berkabus tebal terutama pada musim hujan atau awal pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg