YAN (Kedah): Seramai 39 pelajar dan kakitangan daripada sebuah sekolah di Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, dikesan mengalami jangkitan akibat penularan penyakit berjangkit misteri, selepas pulang dari menyertai perkhemahan di Yan, Kedah, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Encik Mansor Zakaria, berkata wabak itu setakat ini, masih belum dikenal pasti.
Menurutnya kesemua pelajar dan kakitangan yang terlibat dalam aktiviti di kem berkenaan adalah seramai 763 orang.
“Daripada jumlah itu, seramai 38 pelajar dan kakitangan sekolah terbabit dilapor mengalami demam, batuk dan ruam pada badan selepas menyertai kem di lokasi terbabit,” katanya, lapor Astro Awani.
Menurut Encik Mansor pelajar dan kakitangan yang dikesan mengalami jangkitan diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan dilaporkan sudah berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata hanya dua individu yang masih dirawat di hospital sehingga 27 April petang, manakala enam lagi dirawat sebagai pesakit luar.
Mereka yang dirawat di hospital adalah pelajar berumur 14 tahun dan pemandu bas berusia 30-an tahun.
“Keadaan mereka dilaporkan stabil walaupun ada pelajar berkenaan sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Enam lagi yang dirawat sebagai pesakit luar telah dibenarkan pulang selepas rawatan.
Encik Mansor juga menegaskan kes berkenaan tidaklah seburuk seperti ditularkan di media sosial, namun pihak berkuasa kesihatan telah mengambil langkah segera bagi mengelak penyakit itu menular, selain memberikan bantuan dan rawatan segera kepada mereka yang dijangkiti.
Katanya siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca jangkitan termasuk pengambilan sampel air dan darah, dengan keputusan penuh ujian dijangka mengambil masa.
“Kita tidak boleh membuat andaian sehingga keputusan makmal diperoleh. Buat masa ini, tiada bukti menunjukkan berlakunya jangkitan yang boleh merebak seperti denggi atau penyakit berjangkit lain,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengarahkan kem berkenaan ditutup sementara serta memeriksa beberapa kem lain yang berdekatan bagi menjamin keselamatan peserta.
Beliau juga meminta orang ramai tidak mempercayai berita tidak sahih yang disebarkan di media sosial dan menunggu pengesahan rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg