KUALA LUMPUR: Anak gajah jantan yang dilaporkan mati pada 11 Mei, dilihat sempat bermain dengan ibunya sebelum dilanggar lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di Perak.
Menerusi satu video tular dimuat naik @_zaquan_, kelihatan beliau sempat merakam anak gajah tersebut ketika melalui jalan itu pada tengah malam sebelum kejadian.
Ketika itu kenderaannya dan sebuah lagi kereta di hadapan berhenti untuk memberi laluan kepada ibu dan anak gajah tersebut yang melintas.
Selepas memberi laluan, barulah pengguna tersebut melepasi dua ekor gajah tersebut sambil merakam haiwan mamalia itu sempat bermain di celah-celah daun dan pokok di tepi jalan.
“Ini anak gajah yang kena langgar semalam (11 Mei), masa lalu dia main tepi jalan je dengan mak dia,” tulis pengguna tersebut pada ruangan keterangan video, lapor Kosmo!.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.3 juta tontonan, 72,800 tanda suka dan 10,200 perkongsian.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang melahirkan rasa simpati terhadap anak gajah berkenaan.
Sementara itu, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menggesa tindakan segera dan nyata diambil bagi mengelak lebih banyak kematian hidupan liar, termasuk membina bonggol jalan di lokasi persimpangan utama haiwan melintas.
Menurut WWF-Malaysia, langkah itu dilihat sebagai penyelesaian kritikal yang mampu memaksa pemandu memperlahankan kenderaan serta menyelamatkan banyak nyawa, selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Gesaan itu susulan kejadian menyayat hati pada sambutan Hari Ibu pada 11 Mei di JRTB Gerik-Jeli, apabila seekor gajah betina dilihat meratapi kematian anaknya akibat dilanggar sebuah lori.
“Tragedi ini bukan kejadian terpencil. Ia mencerminkan keperluan mendesak untuk menambah baik langkah perlindungan hidupan liar di sepanjang lebuh raya tersebut, yang dikenali sebagai kawasan panas laluan lintasan haiwan,” kata WWF-Malaysia dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut WWF-Malaysia, papan tanda amaran sedia ada tidak mencukupi dan tidak memberi kesan signifikan dalam menurunkan kadar kemalangan melibatkan haiwan.
WWF-Malaysia turut menegaskan keperluan mendesak untuk menyediakan lintasan hidupan liar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu di laluan berkenaan.
Katanya jalan raya berkenaan merentasi kawasan habitat kritikal seperti Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, menjadikannya zon konflik antara pembangunan dan habitat haiwan liar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg