KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia mengenal pasti satu laman sesawang menggunakan nama KEY MALAYSIA untuk permohonan eVisa bagi warga asing yang dikenakan syarat kemasukan visa ke Malaysia dengan kadar bayaran tiga kali ganda berbanding jumlah sebenar.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata perkara itu terbongkar selepas seorang wanita warga Bangladesh berusia 32 tahun ditahan dan memiliki pas lawatan sosial.
Beliau berkata hasil semakan awal mendapati suspek kerap memasuki Malaysia sejak 2022.
“Modus operandi suspek adalah menyasarkan warganegara asing yang perlu memiliki visa sebelum masuk ke Malaysia.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah dua hingga tiga kali ganda berbanding bayaran sebenar eVisa.
“Maklumat awal mendapati laman sesawang sindiket sudah menerima 52,672 permohonan eVisa dengan bayaran antara RM300 ($91.93) dengan RM500 bagi setiap permohonan,” katanya dalam kenyataan pada 31 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Zakaria berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 2022 dengan memperdaya pemohon melalui laman sesawang yang mirip fungsi laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen iaitu ‘eVisa Malaysia’.
“Laman sesawang sindiket ini menawarkan dua kategori kelulusan eVisa iaitu visa biasa bagi kelulusan dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja, manakala urgent visa (visa segera) dijanjikan kelulusan segera dalam tempoh dua hingga tiga hari bekerja.
“Maklumat pemohon yang diterima melalui laman ini seterusnya akan dipindahkan ke laman sesawang rasmi ‘eVisa Malaysia’ oleh sindiket,” katanya.
Beliau berkata pemohon seterusnya akan menerima pemberitahuan yang menyatakan permohonannya ditolak daripada laman sesawang sindiket selepas bayaran dilakukan.
“Pemohon yang menghubungi khidmat pesanan (live chat) untuk mengetahui sebab permohonan ditolak akan menerima ugutan termasuk pasport pemohon akan disenarai hitam,” katanya.
Datuk Zakaria berkata suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata suami suspek, yang juga warga Bangladesh, diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Kewujudan laman sesawang yang memanipulasi fungsi perkhidmatan Jabatan Imigresen mencalar imej dan mewujudkan persepsi negatif terhadap agensi ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg