PUTRAJAYA: Bermula Januari 2025, warga asing yang ingin memasuki dan tinggal di Malaysia dalam tempoh panjang tidak lebih 30 hari, boleh memohon pas khas dalam talian (eSP) yang akan diperkenalkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daya usaha itu adalah antara usaha pendigitalan agensi selain mengurangkan kesesakan di kaunter JIM.
“Pas khas ini adalah satu dokumen yang dikeluarkan kepada warga asing bertujuan memberi hak kepada pemegang masuk dan tinggal di Malaysia tidak lebih 30 hari berdasarkan kepada peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya, lapor Kosmo!.
Menjelaskan lanjut, Datuk Saifuddin berkata eSP adalah platform permohonan pas khas secara dalam talian.
Ia menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang mempunyai pas yang masih sah.
“Mana-mana warga asing yang sedang menunggu keputusan untuk permohonan baru, lanjutan, pertukaran PLS Jangka Panjang, PLIK atau yang mengalami masalah seperti sakit kemalangan jalan raya, bencana alam dan berada di dalam situasi yang di luar kawalan, boleh memohon eSP ini.
“Secara asasnya, eSP adalah satu kemudahan kepada pemohon dalam menguruskan hal-hal berkaitan Imigresen, terutama dalam situasi kecemasan atau yang memerlukan pertimbangan khas,” katanya.
Bagaimanapun, katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertolak ansur dari aspek keselamatan meskipun proses permohonan dilakukan secara dalam talian.
Datuk Saifuddin berkata buat masa ini, urus niaga permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual dan pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.
Jelasnya, secara purata 50 peratus warga asing yang hadir ke Pejabat Imigresen adalah untuk urusan menyelaras keberadaan di Malaysia, lalu menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit.
“Pada 2023, sebanyak 139,344 pas khas dikeluarkan, manakala setakat Oktober 2024, sebanyak 119,019 pas khas dikeluarkan kepada warga asing.
“Jadi, pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baru,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Saifuddin berkata peningkatan daripada gred 54 kepada Jusa B untuk jawatan Ketua Pengarah Imigresen, selain beberapa jawatan lain, antara pertimbangan kerajaan bagi menambah baik skim perkhidmatan agensi penguatkuasaan itu.
Datuk Saifuddin berkata pihaknya juga bercadang mewujudkan Skim Bersepadu Imigresen dengan menggabungkan Skim Perkhidmatan Imigresen dan Skim Bersepadu Penolong Penguasa Imigresen/Penguasa Imigresen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg