KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memandang serius dan menjalankan siasatan lanjut susulan tindakan Agensi Antirasuah Bangladesh ke atas empat bekas Ahli Parlimennya (AP) yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan dengan nilai anggaran 24,000 crore taka Bangladesh ($2.65 bilion).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia susulan laporan Dhaka Tribune menerusi sumbernya yang mendakwa sindiket itu, melibatkan bekas Menteri Kewangan, Mustafa Kamal serta bekas AP Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral Bersara Masud Uddin Chowdhurry.
Laporan itu mendedahkan, sindiket berkenaan telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh satu tahun.
Bagaimanapun, ramai dalam kalangan pekerja berkenaan tidak dapat mencari peluang pekerjaan dan pulang dengan tangan kosong.
Laporan itu juga mendakwa bahawa sindiket terbabit beroperasi dengan sokongan pegawai kanan daripada kededua kerajaan Bangladesh dan Malaysia.
Datuk Saifuddin berkata pihaknya ambil maklum pendedahan berkenaan dan akan meminta agensi berkaitan memberikan laporan lengkap bermula dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan.
“Kemudian tentunya saya akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia juga kerana pemberian kuota itu dikeluarkan olehnya.
“Saya juga akan berurusan dengan agensi di bawah kami terutamanya Jabatan Imigresen kerana pengurusan pengeluaran visa itu adalah di bawah kawal selia kami,” katanya, lapor Buletin TV3.
Jelas Datuk Saifuddin di satu sisi dasar negara membenarkan pengambilan pekerja asing bagi memenuhi lima sektor kritikal, di mana tanpanya ia akan menjejaskan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya dalam proses membawa masuk tenaga kerja berkenaan perkara sebegini dilaporkan berlaku.
“Sudah tentu sebagai kementerian yang mempengerusikan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia berkenaan dengan urusan pekerja asing berita tangkapan itu adalah perkara yang kami perlu beri perhatian,” tambahnya.
Difahamkan, pekerja dikenakan caj jauh melebihi kos yang ditetapkan kerajaan iaitu 79,000 taka Bangladesh (RM2,940), dengan purata pekerja membayar 544,000 taka Bangladesh (kira-kira RM20,280) untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg