Topic followed successfully
Go to BHkuLangkah kawal RON95 cetus pelbagai reaksi
Langkah kawal RON95 cetus pelbagai reaksi
Peniaga JB masih bergantung kepada perbelanjaan rentas sempadan
Langkah kawal RON95 cetus pelbagai reaksi
Langkah kerajaan Malaysia menyekat penggunaan kad kredit dan debit asing bagi pembelian petrol RON95 bermula 1 April mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengusaha dan pemerhati ekonomi, khususnya apabila ia melibatkan kehadiran warga Singapura yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi tempatan.
Walaupun dasar itu bertujuan memastikan subsidi bahan api hanya dinikmati rakyat tempatan, beberapa pihak berpandangan ia boleh memberi kesan tidak langsung terhadap sektor perniagaan dan pelancongan di Johor Bahru yang selama ini bergantung kepada aliran pengunjung dari seberang Tambak.
Ketua Kluster Minyak dan Gas, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Tengku Ngah Putra Tengku Ahmad Tajuddin, berkata isu sebenar bukanlah kehadiran kenderaan Singapura mengisi minyak, sebaliknya berkait rapat dengan kekangan bekalan petrol RON97 di stesen minyak.
Beliau menjelaskan, kebanyakan stesen minyak hanya mempunyai satu tangki bagi RON97, manakala selebihnya diperuntukkan untuk RON95 yang bersubsidi.
“Isunya sekarang bukan tentang banyak kereta Singapura isi minyak, tetapi tangki RON97 di stesen minyak sangat terhad. Kebanyakan stesen hanya ada satu tangki sahaja,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pengguna, termasuk warga Singapura, terpaksa membuat pilihan terhad apabila bekalan RON97 habis.
“Apabila RON97 tiada, mereka tiada pilihan. Mereka datang ke stesen minyak dan akhirnya membeli apa yang ada, walaupun bukan pilihan utama,” jelasnya.
Menurut beliau, adalah tidak wajar menyalahkan warga Singapura kerana mereka bukan sahaja membeli minyak, malah turut menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui pembelian barangan lain.
“Mereka bukan datang semata-mata isi minyak. Mereka juga membeli barangan seperti makanan, produk industri kecil dan sederhana (SME) di stesen minyak. Itu membantu pengusaha tempatan menampung kos operasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan sumbangan warga Singapura kepada ekonomi Johor tidak boleh dipandang ringan, terutama dalam sektor pelancongan dan runcit.
“Mereka juga pelancong. Mereka bergerak sampai ke Melaka, berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi tempatan. Jadi jangan salah anggap terhadap mereka,” katanya.
Pandangan itu disokong oleh Naib Presiden, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo, yang melihat kehadiran warga Singapura sebagai faktor penting dalam mengekalkan kelangsungan perniagaan tempatan, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut beliau, walaupun harga barangan dan bahan api meningkat susulan ketegangan geopolitik sejagat, Johor Bahru kekal menjadi destinasi pilihan warga Singapura kerana faktor kadar tukaran mata wang yang berpihak kepada mereka.
“Walaupun kos meningkat, kadar tukaran mata wang masih menjadikan barangan dan bahan api di Malaysia lebih mampu dibeli oleh warga Singapura,” katanya.
Beliau berkata peningkatan harga diesel turut memberi kesan kepada kos pengangkutan, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga makanan sehingga kira-kira 30 peratus.
“Akibatnya, pengguna tempatan lebih berhati-hati berbelanja. Dalam keadaan ini, perbelanjaan warga Singapura membantu memastikan perniagaan terus beroperasi,” jelasnya.
Encik Segar turut menggesa kerajaan negeri Johor agar mempergiat usaha menarik lebih ramai pengunjung dari Singapura dengan menyediakan persekitaran perniagaan dan pelancongan yang lebih selesa.
“Masyarakat peniaga menyambut baik kesan limpahan daripada perbelanjaan rentas sempadan yang terus menyokong aktiviti ekonomi di Johor Bahru,” katanya.
Ketua Kumpulan Penyelidikan Ekonomi Inovasi Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Nanthakumar Loganathan, berpandangan langkah menyekat penggunaan kad asing tidak memberi kesan besar kepada warga Singapura.
Beliau berkata kebanyakan warga Singapura sudah memahami peraturan bahawa mereka hanya dibenarkan membeli petrol RON97 yang tidak bersubsidi.
“Rakyat Singapura sudah peka dan memahami peraturan ketat di Malaysia. Selagi mereka menggunakan RON97 dan membayar harga pasaran, tiada masalah,” katanya.
Menurut beliau, sekatan terhadap penggunaan kad asing mungkin tidak memberi kesan ketara kerana penguatkuasaan sedia ada sudah mencukupi untuk mengawal penyalahgunaan subsidi.
“Sekatan ini dilihat tidak memberi kesan nyata, melainkan jika terdapat cubaan menyalahgunakan RON95. Jika tidak, ia hanya menyusahkan pengguna,” katanya.
Beliau turut menambah, warga Singapura merupakan penyumbang terbesar kepada pelancongan antarabangsa di Malaysia dan langkah yang menyulitkan mereka boleh memberi kesan kepada sektor tersebut.
“Warga Singapura telah lama menjadi penyumbang utama pelancong ke Malaysia. Jadi sebarang sekatan yang menyusahkan mereka perlu dinilai dengan teliti,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Naib Presiden 2, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Abd Latif Bandi, melihat langkah itu dari sudut berbeza apabila menegaskan kepentingan melindungi kepentingan rakyat tempatan.
Beliau berkata kerajaan perlu memastikan bekalan bahan api mencukupi untuk rakyat, terutama dalam keadaan harga sejagat yang tidak menentu.
“Kita kena utamakan rakyat kita dahulu. Minyak subsidi ini memang untuk rakyat tempatan,” katanya.
Namun begitu, beliau mengakui langkah tersebut boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan, memandangkan sebahagian perniagaan bergantung kepada kehadiran warga Singapura.
“Dari segi pelancongan memang ada kesan, sebab mereka biasa datang isi minyak dan berbelanja. Tetapi ini mungkin langkah sementara,” katanya.
Datuk Abd Latif turut menambah, peningkatan harga diesel memberi kesan besar kepada operasi pelabuhan dan logistik, sekali gus menjejas kecekapan operasi.
“Kos operasi meningkat dengan ketara. Kalau dahulu satu kapal boleh diselesaikan dalam 10 jam, sekarang mungkin mengambil masa sehingga 14 jam kerana pengurangan penggunaan mesin,” jelasnya.
Beliau berkata kesan itu turut dirasai dalam sektor lain termasuk pergudangan dan pengangkutan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia, Datuk Abd Aziz Sapian, menjelaskan pengurangan kuota subsidi RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter mencerminkan perubahan pendekatan kerajaan dalam pengurusan subsidi.
Beliau berkata walaupun harga rasmi kekal pada RM1.99 seliter, pengguna sebenarnya berdepan peningkatan kos apabila kuota tersebut habis lebih awal.
“Selagi penggunaan berada dalam kuota, pengguna menikmati harga RM1.99. Tetapi apabila had dicapai, mereka perlu membayar harga pasaran yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut beliau, perubahan itu memberi kesan kepada corak penggunaan dan perbelanjaan pengguna, terutama bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk pekerjaan.
“Pengguna dengan mobiliti tinggi mungkin menghabiskan kuota seawal minggu pertama, menyebabkan mereka menanggung kos lebih tinggi untuk baki bulan tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan peningkatan kos bahan api memberi tekanan kepada pelbagai sektor ekonomi kerana bahan api merupakan input asas dalam kebanyakan kegiatan ekonomi.
“Apabila kos bahan api meningkat, ia akan memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan secara keseluruhan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam, berkata sekatan penggunaan kad asing diperkenalkan bagi memastikan subsidi tidak disalahgunakan.
Beliau berkata sebelum ini, terdapat kes kenderaan bernombor pendaftaran asing menggunakan kad asing untuk membeli petrol RON95 di pam layan diri, yang menyukarkan pemantauan.
“Oleh itu, pengguna kad asing perlu membuat bayaran di kaunter bagi memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.
Langkah itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama syarikat minyak bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
Secara keseluruhannya, dasar baru itu memperlihatkan usaha kerajaan menyeimbangkan antara keperluan melindungi subsidi rakyat tempatan dengan memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi yang banyak dipacu oleh perbelanjaan rentas sempadan.
Dalam konteks Johor Bahru, peranan warga Singapura sebagai penyumbang utama ekonomi tempatan terus menjadi faktor penting, sekali gus menimbulkan keperluan untuk dasar yang lebih seimbang dan menyeluruh.
“
“Mereka (warga Singapura) bukan datang semata-mata isi minyak. Mereka juga membeli barangan seperti makanan, produk industri kecil dan sederhana (SME) di stesen minyak. Itu membantu pengusaha tempatan menampung kos operasi... Mereka juga pelancong. Mereka bergerak sampai ke Melaka, berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi tempatan. Jadi jangan salah anggap terhadap mereka.”
