Rindu lemang buluh, warga S’pura sanggup redah sesak Tambak Johor
Rindu lemang buluh, warga S’pura sanggup redah sesak Tambak Johor
Tradisi lama Raya kian pudar, buru nostalgia di seberang Tambak
Sebahagian warga Singapura yang menikmati lemang ketika Lebaran berkemungkinan besar menikmati lemang yang dibeli daripada pemborong lemang yang sibuk beroperasi di Johor sepanjang musim perayaan.
Malah, ada dalam kalangan pengusaha memaklumkan bahawa pelanggan dari Singapura menyumbang hampir 50 peratus daripada jumlah tempahan keseluruhan mereka setiap kali Aidilfitri.
Bagi generasi lama, suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri sering dihiasi dengan bau harum lemang buluh yang dibakar di halaman rumah, rendang ayam yang sedang mendidih di dapur, serta ketupat yang dianyam rapi sebelum direbus untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu.
Pada suatu ketika dahulu, hampir setiap rumah Melayu tidak pernah meninggalkan amalan ini.
Namun, perubahan gaya hidup masyarakat bandar dan kekangan masa menyebabkan sebahagian tradisi itu semakin pudar.
Keadaan itu membuat sebahagian warga Singapura sanggup meredah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor semata-mata untuk mendapatkan lemang bakar dari Johor Bahru.
Bagi mereka, lemang bukan sekadar makanan, malah simbol kenangan yang menghidupkan kembali suasana Hari Raya seperti dahulu.
Sebatang lemang, seribu kenangan
Seorang warga Singapura, Encik Mohd Ferdaus Hamzah, 40 tahun, yang menjalankan perkhidmatan sebagai pembeli peribadi berkata beliau sudah hampir tiga tahun mendapatkan lemang dari Johor untuk dihantar kepada pelanggan di republik ini.
Menurutnya, sambutan terhadap lemang bakar dari Johor amat menggalakkan, khususnya menjelang minggu terakhir Ramadan.
“Sudah tiga tahun saya buat begini.
“Ramai pelanggan kata lemang di sini (Johor) segar dan rasanya sedap.
“Setakat ini saya tidak pernah menerima maklum balas yang buruk daripada pelanggan di Singapura,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Encik Mohd Ferdaus berkata pada musim perayaan 2025 sahaja, beliau menerima lebih 1,000 tempahan lemang dan ketupat daripada pelanggan di Singapura.
“Tahun lalu (2025) terlalu banyak tempahan sampai kami terkejar-kejar menyiapkannya.
“Ada lebih 1,000 ketupat dan hampir 1,000 lemang dihantar ke Singapura.
“Biasanya pelanggan Singapura memang akan cari lemang pada hari pertama Raya.
“Ketupat mungkin ada yang buat sendiri, tetapi lemang sukar dibuat di rumah kerana prosesnya agak rumit,” katanya.
Menurutnya lagi, lemang bakar mempunyai rasa berbeza berbanding lemang kukus.
“Lemang bakar dan lemang kukus memang berbeza. Orang Singapura lebih suka lemang bakar kerana rasanya lebih asli dan tahan lama,” katanya.
Encik Mohd Ferdaus berkata usaha membawa lemang ke Singapura bukan semata-mata untuk meraih keuntungan.
“Sebenarnya ini lebih kepada minat. Kita mahu beri orang rasa makanan yang baik dan pada masa sama menghidupkan suasana Hari Raya yang semakin hilang di Singapura,” katanya.
Beliau berpendapat suasana bazar Ramadan di Singapura kini jauh berbeza berbanding dahulu.
“Dulu suasana bazar lebih meriah dengan makanan tradisional.
“Sekarang banyak makanan yang ikut aliran semasa. Kita sudah jarang jumpa makanan lama seperti ayam bakar atau lemang buluh.
“Saya percaya ramai orang Singapura rindu suasana lama itu,” katanya.
Seorang lagi warga Singapura, Encik Mohamed Nazri Taib, 43 tahun, turut berkongsi pandangan yang sama.
Beliau berkata kecenderungan masyarakat hari ini yang lebih mengejar makanan popular di media sosial menyebabkan makanan tradisional seakan kian dipinggirkan.
“Kalau orang berpuasa, perkara pertama yang mereka cari adalah makanan yang mengenyangkan seperti nasi.
“Tetapi sekarang ramai orang sanggup beratur panjang untuk makanan yang popular walaupun tidak mengenyangkan.
“Kita ikut aliran semasa, bukan ikut apa yang badan kita perlukan,” katanya.
Menurut Encik Mohamed Nazri, makanan tradisional seperti lemang masih mempunyai tempat tersendiri terutama bagi generasi lama.
“Setahun sekali sahaja Ramadan datang.
“Kalau makanan tradisional seperti ini ada di Singapura, suasana Raya itu pasti terasa.
“Sebab itu ramai generasi lama masih menyokong usaha membawa makanan tradisional seperti ini,” katanya.
Dari Singapura ke Johor demi lemang
Bagi Encik Kasiman Shahroon, 64 tahun, dari Sembawang pula, perjalanan ke Johor Bahru untuk membeli lemang bukan perkara asing baginya.
Beliau berkata sebelum ini pernah membeli lemang di pasar malam di Singapura, tetapi rasanya tidak memuaskan.
“Pada 2025 lalu, saya beli lemang di pasar malam tetapi tidak tahan lama. Apabila dipotong, pulutnya lembik.
“Lemang di sini pula lembut dan sedap. Kalau disimpan dalam peti sejuk beku, boleh tahan sampai Raya,” katanya.
Encik Kasiman berkata walaupun tidak mempunyai kenangan khusus tentang lemang ketika kecil, beliau tetap mencarinya setiap kali menjelang Hari Raya.
“Lemang sedap dimakan bersama rendang. Setiap tahun saya akan cari juga,” katanya.
Seorang lagi pengunjung dari Tampines, Encik Mohammad Rashidi Said, 49 tahun, berkata beliau lebih gemar membeli lemang di Johor kerana rasanya lebih segar.
“Kadang-kadang kita tidak ada masa untuk memasak sendiri.
“Jadi lebih mudah membeli dari tempat yang memang pakar membuat lemang.
“Kalau kita beli dari tempat yang betul, rasanya lebih segar dan bermutu,” katanya.
Menurut beliau, perjalanan melalui jalan kampung di Johor juga sering membuka peluang untuk menemui pelbagai makanan tradisional.
“Kalau ikut jalan kampung, kita boleh jumpa makanan tradisional seperti ini.
“Itu yang membuatkan kami suka datang ke Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Cik Diana, 49 tahun, bersama suaminya Encik Hanafi, 53 tahun, dari Punggol berkata mereka biasanya mengetahui tentang kedai lemang di Johor melalui media sosial.
“Kami pernah ternampak tentang satu tempat ini di Facebook.
“Kebetulan ketika itu kami berada di Johor, jadi kami singgah untuk mencuba.
“Apabila sampai di rumah, lemang itu masih elok dan rasanya lembut. Jadi ini kali kedua kami datang membeli,” katanya.
Menurut beliau, lemang yang dijual di Singapura kebanyakannya tidak dibakar dalam buluh.
“Di Singapura kebanyakannya bukan lemang buluh. Rasanya juga tidak sama.
“Lemang yang baik mesti ada rasa lemak santan dan pulutnya lembut,” katanya.
Cik Diana berkata beliau masih teringat bagaimana ibunya memasak menggunakan dapur arang suatu ketika dahulu.
“Dulu ibu saya masih memasak menggunakan arang di luar rumah.
“Sekarang sudah jarang dilakukan kerana keadaan persekitaran tidak mengizinkan.
“Jadi kita cuba hidupkan semula suasana itu dengan membeli makanan tradisional seperti ini,” katanya.
Bagi Cik Ekin, 41 tahun, dari Yishun pula, lemang bakar sukar ditemui di Singapura.
“Di Singapura biasanya lemang yang dijual ialah jenis kukus atau segera. Lemang bakar seperti ini jarang ditemui.
“Sebab itu ramai orang Singapura datang ke Johor untuk mencarinya,” katanya.
Lemang bakar lebih enak
Sementara itu, pengasas De’ Lemang, Encik Nurfaliq Ilman Yadzuzd, 27 tahun, berkata kira-kira 80 peratus pelanggan mereka terdiri daripada warga Singapura.
Menurut beliau, permintaan terhadap lemang bakar meningkat setiap tahun terutama menjelang Hari Raya.
“Sekarang sekitar 80 peratus pelanggan datang dari Singapura kerana di sana sukar mendapat lemang bakar.
“Ada juga pelanggan yang membuat ulasan di media sosial. Dalam masa dua jam sahaja selepas ulasan itu disiarkan, kami boleh menerima tempahan antara 60 dengan 90 batang lemang,” katanya.
Encik Nurfaliq berkata mereka mula menerima tempahan seawal 7 pagi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Menjelang Raya, permintaan semakin meningkat setiap hari. Kami terpaksa bekerja dari awal pagi untuk menyiapkan tempahan,” katanya sambil memaklumkan yang beliau belajar memasak lemang daripada bapa saudaranya.
Menurut beliau, harga lemang turut meningkat sedikit berikutan kenaikan harga santan dan bahan mentah.
“Harga lemang bersaiz besar sekarang sekitar RM28 ($9), manakala saiz sederhana RM25 dan saiz kecil RM22,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Encik Mohd Fairuz Darsono, 41 tahun, yang merupakan pemilik Lemang Si Gonjol, berkata beliau mula belajar membuat lemang sekitar 2010 sebelum memulakan perniagaan pada 2021.
“Saya belajar membuat lemang daripada mak cik. Pada mulanya hanya untuk makan bersama keluarga sebelum Hari Raya.
“Selepas beberapa tahun, saya cuba menjadikannya sebagai perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, permintaan terhadap lemang semakin meningkat setiap tahun.
“Kami mampu menghasilkan sekitar 1,500 batang lemang sehari, tetapi permintaan sebenarnya boleh mencecah antara 5,000 dengan 10,000 batang,” katanya.
Encik Mohd Fairuz berkata pelanggan dari Singapura biasanya membeli dalam jumlah yang lebih banyak berbanding pelanggan tempatan.
“Kalau pelanggan tempatan biasanya beli lima atau 10 batang. Tetapi pelanggan dari Singapura boleh beli sehingga 40 atau 50 batang sekali beli,” katanya.
Menurut beliau, lemang yang dimasak menggunakan kaedah bakar juga mempunyai rasa yang lebih asli.
“Proses membakar lemang mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam, tetapi rasanya lebih sedap dan tahan lama berbanding lemang kukus,” katanya.

