JOHOR BAHRU : Banjir yang melanda 27 kawasan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bermula 19 Mac lalu, disifatkan bencana terburuk dalam tempoh 30 tahun.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata selain fenomena hujan lebat melebihi 150 milimeter (mm) sepanjang dua hari, kejadian bertambah buruk susulan air pasang setinggi 3.0 meter di sekitar Johor Bahru.
Katanya, ia menyebabkan banjir luar jangka di beberapa kawasan.
“Sejumlah 27 kawasan terjejas di kawasan MBJB membabitkan kampung, taman perumahan dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti di Pandan, Kangkar Tebrau, Taman Desa Mutiara, Taman Tampoi Utama, Kampung Pasir, Kampung Seri Serdang, Kampung Melayu Pandan dan Kampung Belantik.
“Ia adalah banjir terburuk dalam tempoh lebih 30 tahun di beberapa lokasi terutama di sekitar Kampung Pasir dan Taman Tampoi Indah.
“Ini kerana limpahan dari air Sungai Skudai melepasi paras bahaya pada bacaan 1.5 meter,” katanya selepas mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB dekat Johor Bahru, Johor, pada 27 Mac, lapor Harian Metro.
Datuk Mohd Haffiz berkata sebagai langkah serta merta susulan bencana ini, MBJB sudah menggerakkan jabatan dan bahagian barisan hadapan.
Antaranya Skuad Kilat, Unit Tindakan Cepat, Unit Tindakan Landskap, Taskforce Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kemasyarakatan dan lain-lain unit bagi melaksanakan kawalan dan langkah pemberian bantuan kepada mangsa banjir terbabit.
“Sebagai tindakan awal semasa hujan berterusan berlaku, Skuad Kilat MBJB bersama jabatan lain digerakkan bagi memantau lokasi kerap banjir bagi melaporkan status peningkatan paras air, memastikan laluan air tersekat berjalan lancar, mengalihkan pokok tumbang dan mengalihkan kenderaan yang tersekat susulan banjir.
“Bilik Gerakan Bencana Banjir MBJB juga telah dibuka di Johor Bahru Integrated Operations Centre (JBIOCC) pada 21 Mac lalu bagi menerima laporan dan aduan berkaitan banjir serta menyelaras bantuan pasca banjir kepada yang terjejas.
“Bilik Gerakan Bencana Banjir MBJB ini dibuka bagi membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana Pejabat Daerah Johor Bahru bagi melaksanakan tindakan dan arahan bantuan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana MBJB ini menerusi talian hotline MBJB di 1300-88-0146 atau 07-2198000.
“Meskipun keadaan kini beransur pulih, Bilik Gerakan Bencana MBJB ini akan terus dibuka bagi menyelaras tugas bantuan pasca banjir serta sebagai langkah persediaan menghadapi cuaca yang tidak menentu sepanjang musim peralihan monsun timur laut ini,” katanya.
Ia berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 25 Mac dan berterusan sehingga Mei 2025 yang berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg