Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Batu Pahat banjir lagi, jejas ‘mood’ Raya penduduk

Apr 7, 2025 | 1:07 PM
Penduduk Kampung Baharu Sri Gading, Batu Pahat, Johor, Encik Samsudin Ali, pada 7 April, menunjukkan kebun kelapa sawit miliknya yang dinaiki air sejak 19 Mac.
Penduduk Kampung Baharu Sri Gading, Batu Pahat, Johor, Encik Samsudin Ali, pada 7 April, menunjukkan kebun kelapa sawit miliknya yang dinaiki air sejak 19 Mac. - Foto BERNAMA

BATU PAHAT: Baru beberapa hari dibenarkan pulang ke rumah dari pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir surut sebelum ketibaan Syawal, kini lebih 300 penduduk di Batu Pahat, Johor, kembali ke PPS berikutan kediaman mereka dilanda bah sekali lagi.

Keadaan itu menjejas ‘mood’ Raya penduduk yang terpaksa berpindah ke PPS belum sampai seminggu sambutan Aidilfitri diraikan di rumah mereka.

“Raya belum sampai seminggu lagi kami dah kena pindah, hilang rasa teruja nak Raya,” kata Cik Hadzalin Sanek, 50 tahun, salah seorang daripada mangsa yang dipindahkan kali kedua ke PPS, sejak 5 April.

Ibu dua anak berusia 22 dan 23 tahun serta ibunya, Cik Siti Khadijah Karjo, 74 tahun, menetap di Kampung Baru, Sri Gading, Batu Pahat, dipindahkan pada hari raya keempat (Syawal kelima) selepas hujan lebat sejak 1 April.

“Kami bersemangat nak Raya selepas dibenarkan pulang ke rumah dua hari sebelum Raya, siap beli daging dan keperluan lain.

“Tiba-tiba arahan dikeluarkan agar kami segera ke PPS. Kami reda walaupun hanya dapat merasai suasana Raya dalam tempoh singkat.

“Cuma kami risau keadaan rumah, jika terlalu lama digenangi air akan menyebabkan kerosakan serta bimbang dimasuki binatang liar.

“Kebun sawit sekitar sudah dipenuhi air jadi ada kemungkinan binatang itu akan datang mencari tempat perlindungan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Mangsa banjir lain, Cik Halizan Rejab, 55 tahun, berkata air naik kali kedua bermula pada Raya ketiga ketika beliau bersama anggota keluarga beraya.

Menurutnya kejadian banjir kali ini adalah paling lama selepas menjangkau dua minggu sejak 23 Mac.

“Kami dimaklumkan puncanya disebabkan projek tambak tanah di belakang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sri Gading untuk taman perumahan.

“Keduanya, aliran sungai utama di Parit Karjo, Senggarang (Batu Pahat) tersekat akibat rumput tebal dan ini menyebabkan aliran air ke laut perlahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, dalam satu kenyataan pada 7 April, berkata paras air Sungai Senggarang di Batu Pahat kini berada pada tahap amaran iaitu 3.35 meter.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg