KUALA LUMPUR: Pelukis komik terkemuka Malaysia, Datuk Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat menerima Anugerah Seniman Negara kesembilan daripada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, pada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 di Kuala Lumpur.
Dengan penganugerahan itu, Datuk Lat, 73 tahun, menerima wang tunai RM60,000 ($17,998), watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan, dalam acara yang diadakan pada 13 November.
Beliau turut dianugerahkan status Seniman Tamu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta insentif untuk meneruskan karya seni dan layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan.
Datuk Lat menyifatkan Anugerah Seniman Negara yang diterimanya itu sebagai bukti bahawa pelukis komik turut diiktiraf setaraf dengan penggiat seni dan budaya yang lain.
“Saya lukis komik sudah hampir 60 tahun. Kepada rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan lapisan usia, mereka pencetus ilham saya selama ini, cerita-cerita masyarakat, isu semasa menjadi antara bahan dalam lukisan komik saya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, rakan serta guru yang pernah memberi ilmu kepadanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Seniman Diraja itu juga amat menghargai pelukis veteran yang menjadi mentornya selama berkarya.
“Saya pernah dibimbing ramai pelukis hebat seperti Encik Rejabhad, Encik Raja Hamzah, Encik Alias Kulop, Encik Saidin Yahya dan Encik Sulaiman Awang. Ada yang telah tiada, ada yang saya tidak pernah jumpa, namun saya banyak belajar cara melukis daripada mereka,” katanya.
Pernah melukis di akhbar BHM dan New Straits Times (NST) selama hampir 40 tahun, Datuk Lat berkata walaupun kini jarang melukis akibat faktor kesihatan, beliau berharap karya yang pernah diterbitkan terus menjadi inspirasi kepada pelukis muda hari ini.
Datuk Lat kini sibuk memenuhi kegiatan harian beberapa kali seminggu dengan berkunjung ke Galeri Rumah Lat yang terletak di Batu Gajah, Perak, untuk bertemu pengunjung di situ.
“Saya seronok bercerita dengan mereka yang datang untuk menghayati hasil seni tempatan, menunjukkan surat-surat daripada penerbit dulu-dulu serta membawa mereka ke rumah Kampung Boy, setakat ini masuk (galeri) masih percuma,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg