Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Anwar ke Russia orak kerjasama dalam aeroangkasa

Sep 4, 2024 | 6:32 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), mengadakan pertemuan bersama Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Russia, Encik Rushan Hazrat Abbyasov (dua dari kiri), dalam lawatan kerjanya ke Russia pada 4 September.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), mengadakan pertemuan bersama Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Russia, Encik Rushan Hazrat Abbyasov (dua dari kiri), dalam lawatan kerjanya ke Russia pada 4 September. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Malaysia dan Russia bakal mengorak kerjasama dalam bidang baru seperti aeroangkasa dan teknologi lanjutan.

Ini susulan kunjungan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke negara itu bermula 4 September, ketika Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menjadi ‘buruan’ Barat.

Datuk Anwar, yang memenuhi undangan menghadiri, Forum Ekonomi Timur Kesembilan, di Vladivostok, akan turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Encik Putin bagi membincangkan kerjasama itu, selain bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Russia-Ukraine dan keadaan di Timur Tengah.

Menurut Kementerian Luar, pertemuan itu akan memberi peluang kepada kededua pemimpin untuk menilai dan membincangkan hubungan dua hala.

Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, teknikal dan vokasional pendidikan dan latihan (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.

“Kunjungan ke Russia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah,” kongsi Datuk Anwar di Facebook. 

Sejurus tiba di Vladivostok, Datuk Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Republik Wilayah Tatarstan, Russia, Encik Rustam Minnikhanov.

Mereka membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama ekonomi dengan pelabur dari Tatarstan dan Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Dunia Russia-Islam.

“Saya mengambil peluang menerangkan hala tuju Malaysia dalam beberapa bidang strategik berdasarkan dasar yang digariskan di bawah Ekonomi Madani termasuk bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pelancongan dan keterjaminan makanan,” katanya.

Datuk Anwar kemudian bertemu Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Russia, Encik Rushan Hazrat Abbyasov, dan menyentuh beberapa rancangan yang perlu direncana dan diusahakan bagi mengerat hubungan dengan negara yang mempunyai 25 juta warga Muslim itu.

“Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan lebih erat perlu direncana dan diusahakan.

“Kami menyentuh mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia yakni Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia dan lainnya.

“Industri halal yang terus berkembang lantas meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Russia dalam sektor ini.

“Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan, tidak hanya warga Muslim, malah negara secara keseluruhannya,” katanya.

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan menyampaikan ucapan di Sesi Plenari EEF Kesembilan yang akan dihadiri oleh tetamu khas yang terdiri daripada kehormat asing dan tempatan, penggubal dasar, ahli akademik serta peneraju industri.

EEF dengan tema, Combining Strength to Create New Potential (Menyatukan Kekuatan Mencipta Potensi Baru) ialah forum ekonomi tahunan yang diadakan sejak 2015 di rantau Timur Jauh Russia bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau berkenaan.

Datuk Anwar dan Encik Putin dijangka membincangkan kerjasama dalam ruang lingkup hubungan Rakan Dialog Asean-Russia, selain menyampaikan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Encik Putin, yang kini memegang jawatan Pengerusi BRICS bagi 2024.

Kumpulan BRICS terdiri dari Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan serta beberapa negara lain. 

Pada 2023, Russia adalah rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion ($4.25 bilion), berbanding RM12.3 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg