Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia jadi rakan negara BRICS sebelum muktamad penyertaan

Jul 9, 2024 | 4:41 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) ialah pendekatan terbaik dalam memperkukuh ekonomi negara serta perdagangan serantau dan negara bebas untuk menjalin hubungan dengan semua pihak.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) ialah pendekatan terbaik dalam memperkukuh ekonomi negara serta perdagangan serantau dan negara bebas untuk menjalin hubungan dengan semua pihak. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Malaysia akan menjadi rakan negara blok ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) sebelum penyertaan negara itu dimuktamadkan, yang dijangka mengambil sedikit masa.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan Kementerian Luar, terdapat keperluan untuk Malaysia menyertai BRICS.

“Memang benar ada kemungkinan permohonan Malaysia mengambil sedikit masa.

“Bagaimanapun, oleh kerana Malaysia mempunyai hubungan sangat baik dengan BRICS, ada kemungkinan Malaysia menjadi apa yang disebut sebagai rakan negara BRICS atau rakan negara baru sebelum penyertaan kita dimuktamadkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 9 Julai.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Encik Lee Chuan How, berkenaan mekanisme yang akan diambil kerajaan Malaysia supaya penyertaan dalam BRICS memberi manfaat kepada negara.

Datuk Anwar berkata keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS adalah pendekatan terbaik dalam memperkukuh ekonomi negara serta perdagangan serantau dan negara bebas untuk menjalin hubungan dengan semua pihak.

Beliau berkata BRICS mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi dunia dan ia sudah tentu akan membawa kebaikan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.

“Secara kumulatif, Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) negara anggota BRICS berjumlah AS$26.6 trilion ($35.9 trilion) iaitu 26.2 peratus daripada GDP dunia atau hampir sama dengan kekuatan ekonomi negara G7 (Kumpulan Negara G7),” katanya.

Menurut Datuk Anwar, Malaysia telah mengkaji kemungkinan dan implikasi dalam hubungan dengan negara BRICS dan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, sebelum memohon menyertai kumpulan ekonomi itu.

“Tiada alasan mengapa Malaysia harus berasa bimbang akibat menyertai BRICS. Kita akan terus menjadi ahli dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

“Dalam hubungan kita dengan negara yang ada termasuk Barat dan Apec, kita juga ada tidak setuju dalam hal tertentu, malah ada pertentangan besar contohnya dalam isu Gaza, negara berkembang, persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), tetapi tidak menyebabkan kita harus putuskan hubungan,” katanya.

Dalam soalan berasingan, Datuk Anwar berkata pihaknya tidak bertoleransi untuk mengenakan hukuman terhadap menteri atau agensi kerajaan jika terdapat bukti mereka menggunakan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya.

Katanya, Jemaah Menteri sudah memutuskan sebarang penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya khususnya selepas hari penamaan calon tidak dibenarkan.

“Sebaik selesai hari penamaan calon, menteri atau timbalan menteri atau mana-mana agensi tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan jentera kerajaan dalam kempen. Kalau ada bukti yang disampaikan tentunya kita akan ambil tindakan wajar,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, mengenai pendirian kerajaan terhadap pembiasaan budaya rasuah ketika pilihan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg