KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,127 projek perumahan terbengkalai sejak 2022 berjaya diselesaikan membabitkan 135,211 pembeli rumah dengan nilai pembangunan keseluruhan berjumlah RM106.4 bilion ($32.2 bilion).
Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, berkata pencapaian itu adalah hasil tindakan segera kementeriannya yang menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyelamatkan projek perumahan swasta yang tertangguh sejurus kerajaan dibentuk.
“Antara projek tertua yang berjaya kita selesaikan ialah Rumah Ladang Estet di Selangor yang terbengkalai sejak 27 tahun lalu.
“Sepanjang ia terbengkalai, lima kali pilihan raya telah diadakan dan lima Rancangan Malaysia telah diperkenalkan dan akhirnya kini siap dengan dana RM75 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Tapak Projek Residensi Hektar Gombak pada 30 Julai, lapor Kosmo!.
Encik Nga memaklumkan dua lagi projek besar yang berjaya diselesaikan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putera Kiamsam di Kota Kinabalu yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia Ke-8, serta Projek Perumahan Bestari Jaya yang terbengkalai hampir tiga dekad.
Sementara itu, Encik Nga dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 2,400 pembeli Projek Residensi Hektar Gombak kini boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan suntikan dana RM125 juta bagi menyambung semula kerja pembinaan yang terbengkalai sejak 2022.
Menurut Encik Nga, peruntukan besar itu diperoleh hasil usaha berterusan Pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (Test) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), selepas melalui pelbagai cabaran serta rundingan teknikal dan kewangan yang rumit.
“Dengan adanya suntikan modal ini, kerja pembinaan akan bermula semula pada 30 Julai dan dilaksanakan oleh kontraktor utama baru, Bina Permai Sdn Bhd,” katanya.
Projek Residensi Hektar Gombak yang dimajukan Hektar Aneka Sdn Bhd pada 2018 melibatkan pembinaan kediaman mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah.
Namun, ia gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan di bawah Perjanjian Jual Beli, iaitu pada Mei 2022.
Encik Nga berkata KPKT sentiasa prihatin dengan nasib pembeli yang terjejas akibat kelewatan projek.
Antara langkah yang diambil termasuk membantu pembeli mendapatkan pengurangan bayaran bulanan serta penstrukturan semula pinjaman perumahan bersama institusi kewangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg